Jualan lebih tinggi lonjakkan untung bersih 1HFY21 SP Setia kepada RM150 juta | DagangNews Skip to main content

Jualan lebih tinggi lonjakkan untung bersih 1HFY21 SP Setia kepada RM150 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Prestasi jualan yang kukuh telah mendorong syarikat pemaju hartanah, SP Setia Berhad untuk mencatatkan keuntungan bersih pada separuh pertama tahun kewangan 2021 (1HFY21) lebih tinggi kepada RM150.04 juta daripada kerugian bersih RM110.25 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Bagi tempoh separuh tahun pertama itu, kumpulan menyaksikan jualannya mengukuh kepada RM2.71 bilion dengan projek tempatan menyumbang kira-kira 77% atau RM2.07 bilion. 

 

Menurut SP Setia, kumpulan mencatatkan hasil berjumlah RM2.14 bilion bagi tempoh dua suku pertama FY21, terutamanya dipacu oleh kadar pengambilan yang kukuh dan jualan inventori yang disempurnakan bernilai RM425 juta, meningkat sebanyak 137% daripada RM179 juta pada tahun lalu.

 

Sementara itu, kumpulan juga mencatatkan keuntungan bersih bagi suku kedua FY21 (2QFY21) menokok kepada RM74.81 juta daripada kerugian bersih RM134.34 juta pada 2QFY20.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia, Datuk Khor Chap Jen berkata, prestasi 1HFY21 yang memberangsangkan itu, sebahagian besarnya disumbangkan oleh jualan kukuh bagi tempoh lima bulan pertama tahun kewangan semasa, secara umumnya disokong oleh sentimen pasaran yang baik pada awal tahun ini. 

 

“Namun, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh pada 1 Jun 2021 telah memperlahankan pertukaran tempahan kepada jualan yang dimuktamadkan. 

 

“Kami bagaimanapun gembira melihat jumlah tempahan yang diterima setakat 30 Jun bernilai RM954 juta.

 

Khor Chap Jen
Khor Chap Jen

 

“Hartanah yang kebanyakannya terdiri daripada rumah teres dua tingkat atau rumah berkembar mampu milik dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM687 juta telah dilancarkan pada tempoh berkenaan dan kadar pengambilan tinggi dapat dilihat terutamanya di perbandaran yang sudah siap dan matang,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Memasuki 2HFY21, kumpulan bakal menawarkan pelancaran hartanah baharu bernilai RM2.47 bilion di pelbagai perbandaran termasuk Setia Alam, Setia Ecohill 2, Setia Eco Park, Setia Eco Glades, Setia Mayuri, Temasya Glenmarie, Bandar Kinrara, Setia Alam Impian dan Kota Bayuemas.

 

Pada Mei 2021 lalu, kumpulan juga telah memeterai perjanjian jual dan beli bersyarat bagi pelupusan lapan bidang tanah berukuran 959.7 ekar di Tebrau, Johor bernilai RM518.1 juta menerusi anak syarikat yang dimilikinya secara tidak langsung, Pelangi Sdn Bhd.

 

Setakat 30 Jun 2021, kumpulan mempunyai 47 projek yang masih lagi berjalan, dengan ukuran tanah yang dipegang berjumlah 7,483 ekar atau GDV RM125.1 bilion dan jualan yang belum dibilkan bernilai RM10.30 bilion.

 

“Secara keseluruhannya, kami kekal positif terhadap prospek pasaran dan akan terus menumpukan kepada usaha untuk mencapai sasaran jualan berjumlah RM3.80 bilion. Kami kekal optimis, tetapi masih berhati-hati, didorong oleh permintaan yang tertangguh daripada pembeli rumah semasa tempoh pandemik. 

 

“Kami menjangkakan ekonomi, secara umumnya dan terutamanya sektor hartanah akan pulih dengan beransur-ansur dalam tempoh beberapa suku tahun akan datang, didorong oleh program vaksinasi yang berkesan untuk mencapai imuniti kelompok dan penguatkuasaan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) untuk melawan COVID-19,” jelas Chap Jen. - DagangNews.com