Jualan Proton catat penurunan pada April 2022 akibat kekurangan bekalan cip | DagangNews Skip to main content

Jualan Proton catat penurunan pada April 2022 akibat kekurangan bekalan cip

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mei - Proton mencatatkan jualan sebanyak  8,839 unit (domestik + eksport) pada bulan April 2022 atau penurunan sebanyak 32.2% berbanding bulan Mac 2022 dan kurang 41.1% berbanding bulan sama tahun lalu akibat berdepan isu kekurangan bekalan cip.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, pegangan pasaran bagi bulan itu dianggarkan 15.6%, manakala pegangan pasaran hingga kini (YTD) sebanyak 17% dan secara keseluruhannya syarikat menduduki tempat kedua dengan eksport SUV dan Exora ters mencatatkan peningkatan.

 

Beliau berkata, walaupun mengalami penurunan secara keseluruhan, model Proton X50, X70 dan Exora kekal berada di kedudukan teratas segmen B-SUV, C-SUV dan C-MPV dengan jualan sebanyak 1,554 unit, 1,530 unit dan 301 unit masing-masing.

 

Bagaimanapun, Proton SAga menjadi model terlaris pada April 2022 dengan 4,579 unit yang menyumbang kepada jumlah YTD sebanyak 14,028 unit dalam bulan terakhir jualannya sebelum pelancaran Proton Saga 2022. 

 

“Selepas dua tahun jualan terjejas akibat pandemik, pasaran automotif Malaysia menunjukkan potensi pertumbuhan yang kukuh pada 2022 dan ia terbukti dengan senarai menunggu yang panjag untuk penghantaran kereta baharu.

 

"Kami berusaha sedaya upaya untuk memenuhi permintaan pasaran tetapi berdepan masalah kekurangan bekalan cip.

 

poton
Roslan Abdullah

 

"Situasi masih tidak menentu bagi sepanjang tahun ini dan industri kereta global berada di bawah tekanan tinggi akibat kenaikan kos, tetapi syarikat sedang mengusahakan penyelesaian terhadap isu-isu ini untuk memastikan pelanggan kami mendapat produk dan nilai terbaik di Malaysia dan di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Dalam pada itu, jualan eksport bagi bulan April 2022 adalah sebanyak 456 unit dan jumlah itu terjejas akibat isu ekalan alat ganti kenderaan.

 

Jualan eksport YTD kini berjumlah 1,573 unit, meningkat sebanyak 109.7% berbanding empat bulan pertama tahun 2021. 

Pakistan merupakan pasaran eksport terbesar dengan 1,050 unit diikuti dengan Mesir dan Brunei sebanyak 172 dan 138 unit masing-masing. - DagangNews.com