KUALA LUMPUR 25 Ogos - DRB-Hicom mencatat untung bersih RM169.56 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 berbanding kerugian bersih RM217.5 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya yang menyaksikan pendapatan juga meningkat kepada RM3.55 bilion daripada RM2.6 bilion.
Pendapatan kumpulan bagi tempoh itu meningkat 36% berbanding tempoh sama tahun lalu, di tengah-tengah pelbagai perintah kawalan pergerakan yang telah menyekat aktiviti ekonomi, menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Prestasi suku kedua itu didorong jualan yang lebih tinggi daripada pengeluar kereta nasional, Proton dan operasi dalam pembuatan & kejuruteraan serta pengedaran automotif kumpulan.
Ini menyaksikan kumpulan mencatat untung bersih bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022 sebanyak RM143.82 juta daripada kerugian bersih RM234.46 juta.
Dalam tempoh tersebut, perolehan kumpulan mencecah RM6.62 bilion daripada RM6.13 bilion bagi tempoh sama tahun lalu dengan sektor automotif menyumbang dua pertiga daripada jumlah tersebut.
Prestasi ini membolehkan DRB-Hicom mengatasi kerugian sebelum cukai sebanyak RM243.22 juta yang dicatatkan bagi separuh pertama 2021.
Keuntungan kumpulan dalam tempoh enam bulan itu turut didorong oleh pengurangan kerugian di syarikat penghantaran pos dan logistik, Pos Malaysia Bhd. yang ketika ini masih meneruskan program transformasinya.
Bagi sektor automotif, pendapatan pada Jun amat tinggi apabila pembeli kereta membanjiri ruang bilik pameran untuk merebut peluang daripada pengecualian cukai jualan yang ditawarkan kerajaan.
Bagi seluruh negara, jumlah volum industri (TIV) dalam tempoh enam bulan hingga Jun meningkat 33% kepada 331,386 unit, berbanding 249,178 unit yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.
Sementara itu, segmen perbankan kumpulan menerusi Bank Muamalat Malaysia Bhd. mencatat peningkatan pendapatan sebanyak RM587.69 juta apabila pendapatan pembiayaan peribadi dan pembiayaan hartanah meningkat.
Dalam sektor aeroangkasa dan pertahanan pula, peningkatan penghantaran oleh kontraktor pertahanan Deftech, dan perolehan yang lebih baik dari CTRM membantu sektor ini mencatatkan perolehan sebanyak RM309.37 juta.
Perolehan sektor perkhidmatan kumpulan turut mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan untuk kenderaan terpakai, yang menyaksikan pendapatan pemeriksaan di Puspakom meningkat.
Hasil katering penerbangan dan pengendalian darat Pos Aviation juga meningkat apabila perjalanan udara di peringkat global kembali pulih dengan pendapatan bagi sektor ini berjumlah RM357.56 juta.
Perolehan sektor pos bagaimanapun susut kepada RM655.75 juta dalam tempoh enam bulan berbanding RM783.92 juta bagi tempoh sama pada 2021 apabila jumlah bungkusan semakin berkurangan.
Begitu juga perolehan bagi sektor hartanah kumpulan menyaksikan penurunan kepada RM115.76 juta akibat kemajuan kerja bagi projek pembinaan yang lebih rendah, walaupun diimbangi oleh jualan di Proton City dan Hicom Pegoh Industrial Park.
Mengenai prospek kumpulan, DRB-Hicom berkata, selepas tamatnya pengecualian cukai jalan dan perkhidmatan (SST), Proton menyasarkan untuk menghantar lebih 90,000 unit tempahan sedia ada menjelang suku pertama 2023.
Sementara itu, katanya, Honda Malaysia dan Mitsubishi Motors Malaysia juga mencatatkan tempahan yang luar biasa kerana pelanggan mengambil kesempatan daripada pengecualian SST sehingga 30 Jun 2022.
"Pengeluaran model baharu, serta pelbagai program promosi oleh semua jenama dalam kumpulan dijangka meningkatkan lagi segmen automotif DRB-Hicom," katanya.
Kumpulan menjangkakan perniagaan lain akan terus kukuh apabila operasi mulai pulih dalam pasaran masing-masing dengan segmen perbankan dijangka berkembang berikutan prospek ekonomi domestik yang lebih baik.
Menurutnya, pemulihan kumpulan kekal di landasan yang betul dan dijangka mencatat prestasi yang lebih baik bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 berbanding tahun kewangan sebelumnya. - DagangNews.com