Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 11 Jan. - Nilai jualan sektor Pembuatan Malaysia pada bulan November 2020 berjumlah RM119.9 bilion, bertumbuh sebanyak 2.1% berbanding tahun sebelumnya.
Berasaskan bulan ke bulan, nilai jualan merosot 1.7%, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia dalam terbitan Perangkaan Pembuatan Bulanan, Malaysia, November 2020 hari ini.
Mengulas terhadap laporan tersebut, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan tahun ke tahun yang direkodkan pada bulan November 2020 adalah dipacu oleh Produk Kelengkapan Pengangkutan & Pembuatan Lain (10.5%), Produk Peralatan Elektrik & Elektronik (5.3%) dan Produk Makanan, Minuman & Tembakau (5.1%).
“Jumlah pekerja sektor Pembuatan pada bulan November 2020 adalah seramai 2,195,488 orang, berkurang 2.2% berbanding 2,245,373 orang pada November 2019,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, kandungan laporan tersebut juga menyatakan jumlah gaji dan upah yang dibayar adalah berjumlah RM7,190.3 juta, merosot 1.3% atau RM91.8 juta pada November 2020 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Pada masa yang sama, nilai jualan per pekerja meningkat 4.5% kepada RM54,599 berbanding bulan yang sama tahun 2019.
Sementara itu, purata gaji dan upah setiap pekerja adalah sebanyak RM3,275 pada bulan November 2020. – DagangNews.com