KUALA LUMPUR 1 Nov - Jumlah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dianggarkan sebanyak 9.13 juta meliputi 27.4% daripada jumlah penduduk Malaysia, 33.38 juta, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan kanak-kanak lelaki dan perempuan di bawah umur 18 tahun masing-masing adalah 4.72 juta dan 4.42 juta.
"Sementara itu, komposisi kanak-kanak di bawah umur 5 tahun pada 2023 adalah 2.35 juta dengan 1.21 juta kanak-kanak lelaki dan 1.14 juta kanak-kanak perempuan.
"Kumpulan umur ini meliputi 25.7% daripada jumlah kanak-kanak di Malaysia," katanya dalam kenyataan media Statistik Kanak-Kanak Malaysia 2023 di sini, hari ini.
Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan peratusan tertinggi kanak-kanak di bawah umur 18 tahun pada 2023 iaitu 41.1% daripada jumlah penduduk Putrajaya, 0.12 juta.
Ia diikuti oleh Kelantan (34.4%) dan Terengganu (33.5%). Manakala, Kuala Lumpur mencatatkan peratusan terendah iaitu 22.6%.
Bagaimanapun, Selangor merekodkan bilangan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun tertinggi iaitu 1.81 juta, diikuti Johor (1.11 juta) dan Sabah (1.1 juta). Bilangan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang terendah direkodkan di Labuan iaitu 0.03 juta.
Melihat kepada aspek kesihatan, indikator kekurangan nutrisi yang dilaporkan dalam penerbitan ini adalah berdasarkan kanak-kanak di bawah 5 tahun yang hadir ke fasiliti kesihatan.
Kanak-kanak di bawah umur 5 tahun yang mengalami kekurangan nutrisi yang teruk di peringkat nasional meningkat sedikit kepada 0.3% pada 2022 berbanding tahun 2021 (0.2%).
Kanak-kanak di bawah umur 5 tahun yang mengalami kekurangan nutrisi yang sederhana di Malaysia meningkat 0.1 mata peratus kepada 1.4% pada 2022 berbanding 2021 (1.3%).
Penemuan dalam bidang pendidikan menunjukkan bilangan murid di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan pada 2022 adalah 4.96 juta, meningkat 0.6% daripada 4.93 juta pada 2021.
Manakala bilangan murid di sekolah swasta mencatatkan penurunan 1.2% kepada 0.42 juta berbanding 0.43 juta dalam tempoh yang sama.
Daripada perspektif perlindungan kanak-kanak, bilangan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan pada 2022 meningkat 10.2% kepada 6,770 orang berbanding 6,144 orang pada 2021.
Lebih ramai kanak-kanak perempuan yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan iaitu 4,303 orang berbanding kanak-kanak lelaki (2,467 orang) pada 2022.
Sementara itu, komposisi kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan adalah Bumiputera (73.5%), Cina (7.5%), India (9.0%) dan lain-lain (10.1%).
Bilangan kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah pada 2022 merekodkan penurunan sebanyak 12.8% iaitu 3,013 kes berbanding 3,457 kes pada 2021.
Manakala, bilangan kes jenayah seksual yang melibatkan kanak-kanak meningkat 9.5% pada 2022 dengan 1,621 kes berbanding 1,481 kes pada 2021. - DagangNews.com