June Wei kini mampu bernafas selepas terima penajaan BT Bina Group | DagangNews Skip to main content

June Wei kini mampu bernafas selepas terima penajaan BT Bina Group

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 7 Dis - Bekas pemain badminton perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei kini mampu meneruskan kariernya selaku pemain bebas selepas menerima tajaan daripada syarikat pemaju BT Bina Group Sdn. Bhd., baru-baru ini.

 

Pemain berusia 24 tahun itu mengambil keputusan meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas enam tahun bersama badan induk itu.

 

Dia bertindak sedemikian selepas gagal memenuhi indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan badan induk itu di Terbuka Czech dan Antarabangsa Belgium Oktober lalu.

 

Kebanyakan warga maya memberikan komen positif terhadap pemain yang kini menghuni ranking ke-73 dunia itu dan mengucapkan selamat berjaya kepadanya dalam usaha memenuhi impian peribadi.

 

"Saya amat berbesar hati dan berterima kasih kerana menjadi sebahagian daripada BT Bina Group.

 

"Saya berazam untuk bekerja keras bagi mengekalkan keyakinan dan kepercayaan yang mereka tunjukkan kepada saya," tulisnya dalam hantaran di laman Instagram peribadinya.

 

June Wei dijadual beraksi di Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol dari 12 hingga 19 Disember ini namun berdepan tugas getir apabila diundi bertemu pilihan ke-15, Kenta Nishimoto dari Jepun pada pusingan pertama.

 

Ia akan menjadi pertemuan ketiga buat kedua-dua pemain dengan rekod pertemuan terikat 1-1.

 

Nishimoto menang dalam tiga set pada pertemuan sulung pada Thailand Masters 2020 sebelum June Wei membalas dendam juga dalam tiga set pada separuh akhir Kejohanan Berpasukan Asia 2020 di Manila. - DagangNews.com