Juruaudit patut berkomunikasi dengan pelanggan, bukan melulu lapor kata Serba Dinamik | DagangNews Skip to main content

Juruaudit patut berkomunikasi dengan pelanggan, bukan melulu lapor kata Serba Dinamik

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Jun - Serba Dinamik Holdings Berhad menegaskan bahawa juruaudit yang dilantik perlu berkomunikasi dengan pelanggan jika terdapat sebarang unsur keraguan sebelum membuat laporan pra matang sehingga merugikan syarikat dan pasaran. 

 

“Kami mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua institusi (Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia) kerana telah memaklumkan kami mengenai undang-undang berkaitan kewajipan juruaudit untuk membuat laporan kepada SC.

 

“Kami bagaimanapun mahu memberitahu bahawa juruaudit yang melaksanakan tugas berkenaan mempunyai tanggungjawab tertinggi ke atas pertimbangan profesional mereka, bahawa sebenarnya terdapat pelanggaran atau ketidakpatuhan undang-undang yang telah dikenal pasti, bukan sekadar kepercayaan munasabah dari pihak mereka.

 

“Dengan rasa terima kasih, kami juga menerima nasihat daripada kedua-dua institusi terhormat itu bahawa juruaudit boleh melaksanakan beberapa unsur skeptisisme profesional dalam audit mereka, tetapi keraguan semata-mata ini memerlukan komunikasi dengan pelanggan untuk menyelesaikan masalah tersebut, dan ini tidak cukup untuk juruaudit membuat laporan pra matang, sehingga merugikan syarikat dan pasaran. Kami berterima kasih kepada kedua-dua institusi itu kerana tidak menyelidiki fakta kes ini yang belum lagi terperinci,” jelas syarikat dalam satu kenyataan. 

 

Serba Dinamik mengulas kenyataan balas yang dikeluarkan SC dan Bursa Malaysia pada 23 Jun lalu terhadap laporan saman syarikat ke atas bekas juruaudit luarnya, KPMG.

 

Syarikat dalam masa sama turut mendakwa bahawa tiada komunikasi rasmi yang berlaku antara Pengerusinya dengan SC mahupun Bursa Malaysia.

 

Semalam, Serba Dinamik dalam maklumannya di Bursa Malaysia memberitahu bahawa KPMG telah meletakkan jawatan sebagai juruaudit syarikat dengan serta-merta. 

 

Baca : KPMG letak jawatan pengaudit luar Serba Dinamik

 

Notis peletakan jawatan itu telah diterima Serba Dinamik pada 23 Jun lalu.

 

Setakat 12.14 tengah hari, harga saham Serba Dinamik menyusut 0.060 sen atau 11.21% kepada 0.475 sen. - DagangNews.com