JWD Asian muncul antara pemegang saham utama Swift Haulage selepas membeli 11.16% saham terbitan kumpulan berharga RM61.9 juta | DagangNews Skip to main content

JWD Asian muncul antara pemegang saham utama Swift Haulage selepas membeli 11.16% saham terbitan kumpulan berharga RM61.9 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Feb - JWD Asian Holding Pte. Ltd. muncul sebagai antara pemegang saham utama Swift Haulage Bhd. membeli 11.16% saham terbitan syarikat logistik itu dengan harga RM61.9 juta daripada Persada Bina Sdn. Bhd.

 

JWD Asian merupakan sebahagian daripada JWD Group iaitu sebuah sebuah syarikat logistik serantau yang berpangkalan di Thailand dan beroperasi di seluruh ASEAN.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, Swift Haulage berkata, Persada Bina yang memegang 309.62 juta saham atau 35.16% kepentingan dalam syarikat itu, telah memeterai perjanjian jual beli dengan JWD Asian untuk cadangan pelupusan 98.27 juta saham, bersamaan 11.16% daripada saham terbitan Swift Haulage.
 

"Cadangan pelupusan itu dijangka siap pada 22 Februari 2024," katanya.

 

Selepas pelupusan, Persada Bina akan memegang 24% kepentingan dalam Swift Haulage, manakala JWD Asian akan menjadi antara pemegang saham yang besar dengan kepentingan ekuiti 11.16%.

 

Ketua pegawai eksekutif kumpulan Swift Haulage Loo Yong Hui mempunyai pegangan saham yang besar dalam Persada Bina.

 

Beliau adalah anak kepada Loo Hooi Keat, pengarah bukan eksekutif bukan bebas dan penasihat Swift Haulage.

 

Pada pukul 3.30 petang, harga saham Swift Haulage susut 4 sen atau 6.6% kepada 57 sen sesaham dengan 11.4 juta saham bertukar tangan. Permodalan pasarannya berjumlah RM507.4 juta. - DagangNews.com