Kabinet bincang cadangan hidupkan semula projek HSR dengan Singapura, Jumaat ini | DagangNews Skip to main content

Kabinet bincang cadangan hidupkan semula projek HSR dengan Singapura, Jumaat ini

KUALA LUMPUR 1 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka memaklumkan kepada Kabinet berhubung hasil pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong, termasuk berkaitan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), Jumaat ini.

 

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata setakat ini, perkara berkaitan HSR yang dibincangkan antara kedua-dua pemimpin berkenaan hanya dimaklumkan melalui kenyataan rasmi selepas pertemuan mereka sempena pelancaran Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin jalan darat (VTL-Darat) di Singapura, Isnin lalu.

 

"HSR adalah projek yang dibincangkan di antara Perdana Menteri Malaysia dan Singapura. Ketika kenyataan rasmi dibuat, Perdana Menteri Singapura berkata, perkara ini dibincangkan dan mereka sedia berbincang semula (mengenai HSR).

 

"Kita belum mengadakan mesyuarat Jemaah Menteri lagi. Jadi, Jumaat ini, saya jangkakan, Perdana Menteri akan melaporkan kepada Kabinet mengenai hasil pertemuan empat mata antara kedua-dua Perdana Menteri.

 

"Ketika ini, belum ada tempoh perbincangan, cuma kenyataan rasmi sahaja. Selepas ini, hala tujunya akan ditentukan Perdana Menteri dan dimaklumkan kepada Kabinet," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Bajet 2022 Peringkat Jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Berita Harian.


 

PM

 


Pada sidang media bersama Isnin lalu, Hsien Loong berkata, republik itu terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia berkaitan HSR walaupun kedua-dua negara itu sebelum ini bersetuju menamatkan projek berkenaan.

 

Hsien Loong berkata, Kementerian Pengangkutan dari kedua-dua negara akan membincangkan perkara itu dan Singapura berharap menerima butiran lebih terperinci dari Malaysia, selepas Ismail Sabri mencadangkan perbincangan mengenai HSR dihidupkan semula.

 

Ka Siong berkata, laluan Kuala Lumpur dan Singapura adalah antara laluan udara yang tersibuk di dunia dan VTL-Udara yang dibuka Isnin lalu, turut mendapat sambutan yang amat baik.

 

"Dari segi hubungan antara dua bandar raya ini, kita nampak ada pasaran. Kita mahu lihat perbincangan teknikal, yang mana ia akan mengambil masa dan kita akan dengar apa juga keputusan Kabinet nanti," katanya.

 

Selain itu, Ka Siong memaklumkan, beliau dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan membuat satu kenyataan rasmi esok, mengenai persefahaman antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri bagi memuktamadkan jajaran utara projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

 

"Semua masalah teknikal yang dikemukakan Selangor, kita di pihak kementerian tiada masalah.

 

"Kita berunding sebanyak 37 kali melalui sesi libat urus dan dapat mencari satu penyelesaian," katanya. - DagangNews.com