Kabinet lulus 90.5% perakuan MPN, laksana hanya 23.2% - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Kabinet lulus 90.5% perakuan MPN, laksana hanya 23.2% - Muhyiddin

KUALA LUMPUR 27 Sept - Majlis Pemulihan Negara (MPN) kecewa kerana kerajaan lambat melaksanakan inisiatif-inisiatif yang berorientasikan tindakan (action-oriented) dan segera (immediate) walaupun Kabinet sudah meluluskan lebih daripada 90.5% perakuan majlis itu.

 

Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hanya 16 perakuan atau 23.2% daripada 69 perakuan berkaitan isu-isu utama telah dilaksanakan.

 

Beliau berkata, antara perakuan MPN yang tidak dilaksanakan dengan sempurna adalah isu kekurangan tenaga kerja asing terutamanya dalam industri perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjejaskan produktiviti dan merencat proses pemulihan negara.

 

"Bagi menangani masalah ini, MPN dalam mesyuaratnya pada 2 Disember 2021 telah memperakukan kepada kerajaan supaya menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Kekurangan Tenaga Kerja Dalam PMKS yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia. 

 

"Tugas Jawatankuasa Tindakan Khas ini ialah untuk meneliti dengan terperinci apakah permasalahan dalam pengambilan pekerja asing dan mencari jalan penyelesaiannya dengan kadar segera," katanya.

 

MPN dimaklumkan sebanyak 1,152,276 permohonan kuota pekerja asing telah diterima daripada semua sektor industri daripada Januari hingga September 2022 dan daripada jumlah ini, sebanyak 467,223 (40.5%) kuota telah diluluskan tetapi hanya 76,000 (6.5%) pekerja asing telah dibawa masuk ke negara ini setakat 12 September 2022.

 

MPN

 

Muhyiddin juga menyuarakan kekecewaannya apabila perakuan penting MPN kepada Kabinet untuk membantu menangani masalah aliran tunai dan pembiayaan PMKS yang menyumbang 37% kepada KDNK negara tidak mendapat perhatian segera Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan menteri berkaitan.

 

Beliau berkata, kelewatan bertindak dalam hal tersebut adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.

 

Beliau menjelaskan, MPN telah mengemukakan dua perakuan utama kepada kerajaan untuk mengatasi masalah yang dihadapi PMKS itu.

 

"Pertamanya ialah penubuhan Jawatankuasa Tindakan Khas Berkenaan Isu Kekangan Aliran Tunai dan Pembiayaan Dalam PMKS yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang diputuskan dalam mesyuarat MPN pada 2 Disember 2021.

 

"Keduanya ialah beberapa cadangan yang lebih spesifik untuk membantu industri PMKS, iaitu supaya Bank Negara Malaysia (BNM) memberikan kebenaran kepada pihak bank meneruskan program penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan (moratorium) dan tidak mengklasifikasikan pembiayaan yang diberikan penjadualan atau penstrukturan semula sebagai “Tahap 3” bagi pelanggan yang memilih opsyen ini.

 

"Perakuan ini telah diputuskan dalam mesyuarat MPN pada 14 April 2022 dan dikemukakan untuk kelulusan Kabinet menerusi Memorandum Jemaah Menteri (MJM) pada 18 Mei 2022,’’ katanya.

 

Muhyiddin berkata, beliau telah membangkitkan perkara itu  pada 12 September lalu dan Perdana Menteri memberi maklum balas akan berbincang terlebih dahulu dengan kementerian-kementerian yang berkaitan sebelum membuat keputusan.

 

"Baru minggu lepas  Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dalam kenyataan kepada media memberitahu bahawa kementeriannya akan menimbangkan cadangan ini," katanya. - DagangNews.com