Kadar pengangguran April mungkin rendah, tapi membimbangkan | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran April mungkin rendah, tapi membimbangkan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Jun - Kadar pengangguran bagi April 2021 mungkin agak 'melegakan' kerana pada paras 4.6%, ia adalah terendah dalam tempoh 7 bulan.

 

Malah, jumlah pengganggur juga semakin berkurangan kepada 742,700 berbanding 753,200 orang yang direkodkan pada Mac 2021.

 

Bagaimanapun, dengan pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula sejak 12 Mei lalu, pasaran pekerjaan mungkin sukar untuk kembali pulih. 

 

Menurut MIDF Research, jumlah pengangguran boleh meningkat memandangkan syarikat terdedah kepada perbelanjaan pengguna yang lemah dan permintaan kurang memberangsangkan.

 

Ini akan menyebabkan syarikat mengambil langkah mengurangkan pekerja bagi meminimumkan tekanan terhadap kekangan aliran tunai.

 

"Akibat PKP 3.0 ini juga, kami menjangkakan peluang pekerjaan juga semakin menurun pada pertengahan tahun ini walaupun hanya sementara memandangkan syarikat-syarikat melihat semula keperluan pengambilan pekerja terutama bagi sektor tidak penting. 

 

"Tetapi, permintaan buruh akan meningkat semula apabila penularan wabak COVID-19 dapat dikawal dan perintah sekatan dilonggarkan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada April, pembukaan semula ekonomi dan aktiviti perniagaan menyaksikan pemulihan pasaran pekerjaan yang berkembang 0.1% bulan ke bulan kepada 15.35 juta.

 

Jumlah ini kini melepasi paras tenaga buruh sebelum pandemik COVID-19 iaitu 15.34 juta yang direkodkan pada Februari 2020.

 

Baca : Kadar pengangguran terus menyusut kepada 4.6%

 

Menurut MIDF Research, keupayaan ekonomi untuk mewujudkan peluang pekerjaan seperti yang diukur berdasarkan nisbah pekerjaan kepada penduduk tidak berubah pada paras 65.4%. 

 

Tetapi, ia meningkat daripada serendah 64.4% pada Mei 2020. 

 

"Pada awal tahun lalu, nisbah ini berada pada paras 66.7% sebelum PKP 1.0 dikuatkuasakan (mulai 18 Mac) hampir 3 bulan. 

 

"Di sebalik permintaan luaran yang semakin berkembang, kami menjangkakan pekerjaan dalam pembuatan juga akan terus meningkat," katanya.

 

 

covid
Pemulihan pasaran buruh secara dasarnya bergantung kepada sejauh mana penularan pandemik ini dapat diatasi supaya aktiviti perniagaan kembali normal.

 

 

Bagaimanapun, ujarnya, prospek pekerjaan bagi sektor pengguna seperti peruncitan, restoran dan penginapan masih terkesan dengan PKP penuh, yang mana turut menjejaskan perbelanjaan pengguna.

 

Di sebalik pelaksanaan PKP penuh ketika ini, MIDF Research mengekalkan unjuran kadar pengangguran pada 4.3% tahun ini didorong pemulihan dalam perbelanjaan pengguna dan pernigaan serta permintaan luaran.

 

Selain itu, katanya, langkah kerajaan melanjutkan program subsidi upah di bawah Pemerkasa Plus yang diumumkan minggu lalu dan insentif pengambilan pekerja akan terus menyokong pasaran pekerjaan tahun ini.

 

"Namun, situasi semasa pandemik yang masih berterusan akan menjadi faktor utama menjejaskan prospek pasaran buruh. 

 

"Pada masa sama, perkembangan dalam program vaksinasi juga amat penting dalam mengekang pandemik ini dan meningkatkan keyakinan dalam ekonomi seperti mana yang dihadapi negara-negara lain," tambahnya.

 

Firma itu berkata, persekitaran ekonomi dijangka bertambah baik pada separuh kedua tahun ini seiring dengan usaha kerajaan untuk mempercepatkan kadar vaksinasi.

 

Sementara itu, UOB Global Economics & Markets Research menjangkakan kadar pengangguran akan lebih tinggi pada Mei dan Jun ekoran pelaksanaan PKP penuh. 

 

Katanya, keadaan ini disebabkan perniagaan beroperasi dengan 60% kapasiti bagi sektor penting yang dibenarkan sahaja.

 

"Sekiranya, tempoh PKP ini dilanjutkan lagi selepas 14 Jun ini, dan seterusnya diikuti dengan fasa kedua bagi mengekang wabak ini, ia dijangka memberi cabaran kepada pasaran buruh," katanya.

 

Dengan melihat situasi semasa pandemik, UOB menyemak semula unjuran kadar pengangguran lebih tinggi pada 4.5% berbanding 4% sebelum ini menjelang akhir 2021. - DagangNews.com