Kadar pengangguran Jan 2024 kekal 3.3%, kategori bekerja sendiri terus meningkat - DOSM | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran Jan 2024 kekal 3.3%, kategori bekerja sendiri terus meningkat - DOSM

Gambar hiasan
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 8 Mac - Kategori penduduk bekerja sendiri terus mencatatkan trend peningkatan pada Januari 2024 dengan kenaikan sebanyak 0.3% kepada 3.01 juta orang, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ini merupakan peningkatan secara konsisten dengan pada Disember 2023, jumlah bekerja sendiri ialah 3.0 juta orang meningkat daripada bulan sebelumnya iaitu 2.99 juta orang.

 

Memetik laporan Statistik Tenaga Buruh Januari 2024 yang diterbitkan DOSM hari ini, jumlah penduduk bekerja sendiri mewakili 18.3% daripada jumlah pekerja negara ini.

 

Tertinggi bagi jumlah penduduk bekerja ialah kategori pekerja dengan 75.2% atau 12.39 juta manakala kategori majikan (3.5%) dan pekerja keluarga tanpa gaji (3.0%).

 

Keseluruhannya, bilangan penduduk bekerja pada Januari 2024 ialah 16.48 juta orang, meningkat dengan pertambahan sebanyak 0.2 peratus daripada bulan sebelumnya merekodkan 16.48 juta orang (Disember 2023: 16.46 juta).

 

Sementara itu, DOSM berkata, kadar pengangguran kekal pada 3.3 peratus bagi Januari 2024 seperti mana bulan sebelumnya dengan bilangan penganggur terus turun kepada 567,300 orang.

 

dosm

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh negara kekal dalam trend menaik, selari dengan kedudukan ekonomi negara yang terus meningkat dan sejajar dengan perkembangan ekonomi global. 

 

Katanya, oleh itu, tenaga buruh pada bulan Januari 2024 menunjukkan peningkatan yang berterusan, bertambah sebanyak 0.1 peratus kepada 17.05 juta orang berbanding bulan sebelumnya (Disember 2023: 17.03 juta orang). 

 

"Kadar penyertaan tenaga buruh pada bulan tersebut tidak berubah iaitu pada 70.2 peratus, seperti pada bulan lalu. Trend positif ini didorong oleh peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur menurun,” katanya dalam kenyataan media.

 

Di samping itu, Dr. Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja terus meningkat, dengan pertambahan sebanyak 0.2 peratus daripada bulan sebelumnya merekodkan 16.48 juta orang (Disember 2023: 16.46 juta). 

 

uzir
Ketua Pengarah DOSM, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin

 

Mengulas lanjut mengenai situasi guna tenaga, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, majoriti penduduk bekerja pada bulan Januari 2024 adalah dalam kategori pekerja, merangkumi 75.2 peratus. 

 

Kategori ini menunjukkan peningkatan kecil iaitu sebanyak 0.1 peratus, kepada sejumlah 12.39 juta orang berbanding 12.38 juta pada bulan Disember 2023. 

 

"Pada masa yang sama, kategori penduduk bekerja sendiri terus mencatatkan trend peningkatan pada bulan tersebut, naik sebanyak 0.3 peratus kepada 3.01 juta orang (Disember 2023: 3.0 juta orang)," katanya.

 

Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor Perkhidmatan kekal meningkat, terutamanya dalam aktiviti Perdagangan borong dan runcit; Perkhidmatan makanan & minuman; dan Pengangkutan & penyimpanan. 

 

Trend yang sama juga dilihat dalam bilangan penduduk bekerja dalam sektor Pembuatan,
Pembinaan serta Perlombongan & pengkuarian pada bulan Januari 2024. 

 

Bilangan penduduk bekerja dalam sektor Pertanian juga kembali meningkat pada bulan
tersebut berbanding bulan lalu.

 

Berhubung pengangguran pada bulan Januari 2024, Dr. Mohd Uzir berkata, 79.8 peratus daripada jumlah penganggur adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, atau penganggur aktif. 

 

Katanya, kategori ini mencatatkan penurunan sebanyak 0.2 peratus kepada 452.5 ribu orang (Disember 2023: 453.6 ribu orang). 

 

"Mengikut tempoh menganggur bagi penganggur aktif, 61.7 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 6.5 peratus adalah mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun. 

 

"Sementara itu, penganggur tidak aktif atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan yang tersedia meningkat sebanyak 0.5 peratus mencatatkan 114.7 ribu orang (Disember 2023: 114.2 ribu orang)," ujarnya.

 

Tambah beliau, pada Januari 2024, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.6 peratus, merekodkan bilangan penganggur belia seramai 306.8 ribu orang (Disember 2023: 10.6%; 307.2 ribu orang). 

 

"Pada masa yang sama, kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hinga 30 tahun adalah sebanyak 6.7 peratus, dengan 439.7 ribu penganggur belia (Disember 2023: 6.4%; 432.1 ribu orang).

 

"Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan penduduk di luar tenaga buruh mencatatkan sedikit penurunan iaitu sebanyak 0.01 peratus kepada 7.23 juta orang pada Januari 2024 berbanding bulan sebelumnya (Disember 2023: 7.23 juta orang). 

 

"Komposisi utama bagi mereka yang berada di luar tenaga buruh adalah kerja rumah/
tanggungjawab keluarga, merangkumi 42.5 peratus, manakala bersekolah/ latihan berada di kedudukan kedua dengan 40.8 peratus," katanya.

 

Kata DOSM, pada awal tahun 2024, kedudukan ekonomi di Malaysia dilihat stabil, dengan jangkaan permintaan domestik yang lebih tinggi hasil daripada pengurangan inflasi pada Januari, pasaran pekerjaan yang terus kukuh dan kedudukan kewangan yang menyokong.

 

"Oleh itu, pasaran buruh di Malaysia dijangka bertambah baik dan kekal stabil dalam tempoh beberapa bulan akan datang, dipacu oleh ekonomi domestik yang berdaya tahan," jelasnya.- DagangNews.com