Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Dis. - Kadar pengangguran negara pada Oktober mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1 mata peratus kepada 4.7% berbanding September 2020.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, kadar tersebut kembali melonjak setelah mencatatkan trend penurunan selama empat bulan berturut-turut sejak Jun 2020.
"Bilangan penganggur naik 1.5% kepada 748,200 orang berbanding September 2020 iaitu 737,500 orang.
"Walau bagaimanapun, kadar pengangguran bagi Oktober 2020 meningkat 1.5 mata peratus tahun ke tahun, dengan bilangan penganggur mencatatkan peningkatan sebanyak 236,100 orang berbanding bulan sama tahun 2019 iaitu 512,100 orang," jelas DOSM dalam laporan Tenaga Buruh Malaysia Oktober 2020.
Mengulas lanjut, DOSM memberitahu, lebih 80% daripada penganggur pada Oktober 2020 adalah adalah penganggur aktif.
Bagi kumpulan tersebut, komposisi terbesar sebanyak 48.9% adalah penganggur yang menganggur kurang daripada tiga bulan.
Sementara itu, penganggur yang berada dalam pengangguran jangka panjang iaitu lebih dari setahun merekodkan 10.0% daripada jumlah penganggur atau seramai 62,200 orang.
Penganggur tidak aktif atau kumpulan pasif yang percaya tiada pekerjaan pada bulan tersebut pula mencatatkan penurunan 0.5 mata peratus kepada 125,100 orang berbanding 127,100 orang pada September 2020.
"Pada bulan Oktober 2020, kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun meningkat 0.4 mata peratus kepada 13.4% berbanding bulan sebelumnya (September 2020: 13.0%).
"Selain itu, kadar pengangguran bagi belia berusia 15 hingga 30 tahun pula meningkat kepada 8.9% berbanding 8.5% pada September 2020," jelas DOSM lagi. - DagangNews.com