Kadar penggunaan pelantar Velesto diunjur menurun pada 2HFY24 disebabkan tinjauan berkala khas - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Kadar penggunaan pelantar Velesto diunjur menurun pada 2HFY24 disebabkan tinjauan berkala khas - TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Sept - Kadar penggunaan keseluruhan pelantar Velesto Energy Bhd diunjurkan menurun pada 2HFY24 disebabkan oleh tinjauan khas berkala (SPS) yang dijadualkan untuk Naga 5 dan Naga 6.

 

TA Securities berkata, pengurusan menunjukkan ramalan kadar penggunaan hanya sekitar 60% hingga 70% bagi separuh kedua, selepas mengambil kira tempoh henti kerja akibat SPS.

 

Katanya, walaupun kadar penggunaan berkurangan, pihak pengurusan kekal yakin mengekalkan keuntungan dalam tempoh itu. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, menjelang FY25, kedua-dua Naga 3 dan Naga 8 dijadualkan untuk SPS, manakala syarikat itu secara aktif membida kontrak baharu untuk Naga 3 dan Naga 5.

 

"Pengurusan telah menyatakan bahawa Naga 5 mengalami sedikit masa terbiar tambahan, kerana memberi fokus pada mendapatkan kontrak jangka panjang yang strategik (kira-kira 2 tahun) untuk meningkatkan keterlihatan hasil masa hadapan.

 

"Strategi ini meletakkan Velesto untuk dengan prospek yang lebih kukuh pada FY26 dan FY27, dengan pengurusan optimistik untuk mengunci kontrak jangka panjang.

 

"Kami telah menyemak semula ramalan kadar penggunaan kami untuk FY24/FY25/FY26 kepada 82.6%/90.3%/97.2% daripada anggaran sebelumnya sebanyak 87.5%/94.4%/95.8%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu melonjak kepada RM62.81 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24), daripada RM17.4 juta pada 2QFY23. 

 

Hasil meningkat kumpulan itu juga meningkat 40.86% kepada RM393.43 juta daripada RM279.32 juta.

 

TA Securities berkata,  kecekapan operasi Velesto dipertingkatkan dengan penyiapan pantas SPS Naga 2 dalam masa dua bulan sahaja berbanding tiga yang dijangkakan.

 

Katanya, komitmen pengurusan bagi mengekalkan kecekapan operasi yang tinggi terbukti dalam prestasi kukuh syarikat, dengan kadar kecekapan operasi sebanyak 99.3% untuk 1H24 dan 99.8% untuk 2QFY24.

 

"Keputusan ini mencerminkan prestasi yang berkesan semasa operasi aktif. Memandangkan kecemerlangan operasi yang konsisten ini sejak 3QFY22 dan angka terkini, kami telah menyemak semula ramalan kecekapan operasi kami kepada 98.7%/98.0%/98.0% untuk FY24/FY25/FY26," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 30 sen sesaham.- DagangNews.com