MELAKA 12 Sept - KAJ Development Sdn Bhd (KAJD) mengumumkan projek mega Melaka Gateway bernilai RM43 bilion akan dihidupkan semula.
Pengerusi Eksekutif Datuk Daing A Malek Daing A Rahaman berkata projek itu sedang digiatkan semula berikutan kelulusan garis panduan dan peraturan, dengan sokongan kerajaan persekutuan dan negeri Melaka.
“Usaha menghidupkan semula projek Melaka Gateway mendapat dorongan hasil daripada penyertaan pemegang saham dan pelabur baharu serta pembentukan pasukan kepimpinan yang dinamik.
"Kempen penjenamaan semula itu akan dilancarkan selaras dengan inisiatifnya untuk mengubah Melaka menjadi destinasi pelancongan yang berkembang maju dengan memanfaatkan kepentingan sejarahnya sebagai pelabuhan perdagangan terkenal," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Daing A Malek berkata pembangunan infrastruktur Melaka Gateway akan disambung semula dengan pembinaan Terminal Pelayaran Antarabangsa Melaka (MICT) sebagai satu-satunya jeti pelayaran antarabangsa di negeri ini yang mempunyai hak operasi eksklusif daripada kerajaan negeri Melaka.
Beliau berkata di bawah pengurusan KAJD, MICT akan menjadi satu-satunya pintu masuk bagi kapal persiaran antarabangsa dan feri ke Melaka.
Selain itu, beliau berkata terminal itu akan dapat menampung ketibaan kapal persiaran dan dijangka membawa kira-kira 3.5 juta pelancong ke Melaka Gateway setiap tahun.
“Ketibaan kapal persiaran akan memberi impak besar kepada pembangunan Melaka dan akan meningkatkan aktiviti pelancongan, menjadikan Melaka antara destinasi pelancongan paling terkenal di dunia di samping memberi manfaat kepada ekonomi tempatan.
“Melalui usaha kolektif, kami berjaya menanam semula keyakinan dalam kalangan pemegang saham dan kami berharap dapat menjalinkan hubungan rapat dengan semua pihak yang terlibat,” tambahnya. - DagangNews.com