KUALA LUMPUR 9 Dis - Kaunter pembayaran saman yang menawarkan diskaun hingga 80% sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) mendapat sambutan paling tinggi apabila ramai yang sanggup beratur panjang seawal jam 9 pagi.
Tawaran pembayaran saman yang terletak di Dewan Lima, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) 'meriah' dengan kehadiran orang ramai yang ternyata tidak mahu melepaskan peluang melangsaikan tunggakan saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Oleh kerana kesesakan tersebut, orang ramai dimaklumkan bahawa kempen pembayaran saman dengan diskauan 80% itu turut boleh dijelaskan menerusi dalam talian menerusi laman web https://mybayar.rmp.gov.my/en; http://public.jpj.gov.my dan https://myeg.com.my/auth/login
Secara keseluruhan sebanyak 26 kementerian dan lima agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) membuka kaunter perkhidmatan masing-masing selain 98 jualan gerai usahawan dan penyertaan 70 majikan melalui karnival kerjaya.
Program 100 Hari AKM membuka tirai hari ini hingga Ahad bermula jam 9 pagi hingga 10 malam, dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang mana pemimpin negara itu turut membuat lawatan di Kapsul Keluarga Malaysia dan pameran kementerian serta agensi.
Selain diskaun saman, program menarik lain yang ditawarkan ialah Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia, Jom Masuk IPT Keluarga Malaysia, pertandingan e-sport, sukan rakyat, padanan perniagaan, zumba dan cabutan bertuah. - DagangNews.com