Kaunter teknologi dorong KLCI melantun semula  | DagangNews Skip to main content

Kaunter teknologi dorong KLCI melantun semula 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Mac - Pasaran ekuiti tempatan berjaya melantun semula pada awal dagangan pagi ini didorong oleh lonjakan dalam kaunter teknologi. 

 

Ketika dibuka pada 9 pagi ini, indeks penanda aras FBM KLCI menokok 4.89 mata daripada paras yang ditutup petang semalam, 1,567.14 kepada 1,572.03. 

 

Pasaran di Bursa Malaysia menyaksikan sebanyak 379 kaunter untung mengatasi kaunter rugi berjumlah 206.

 

Antara saham yang melonjak termasuk Malaysian Pacific Industries Berhad, ViTrox Corporation Berhad, Hong Leong Financial Group Berhad, Tasco Berhad, Frontken Corporation Berhad, D & O Green Technologies Berhad, British American Tobacco (Malaysia) Berhad, Genetec Technology Berhad, MI Technovation Berhad dan UWC Berhad.

 

Rakuten Trade Research menjangkakan pembelian yang lebih meluas akan wujud hari ini, tetapi prestasi FBM KLCI mungkin direncatkan oleh penjualan saham berterusan dalam syarikat-syarikat sarung tangan. 

 

“Di pasaran tempatan, FBM KLCI sekali lagi tewas dengan penjualan drastik saham sarung tangan semalam.

 

“Oleh itu, kami menjangkakan indeks penanda aras itu akan didagangkan dalam jajaran 1,575/80 hari ini memandangkan aktiviti pemburuan saham murah akan kembali selepas prestasi suram semalam,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota kajiannya. 

 

Di peringkat global, Wall Street melonjak tinggi selepas menjunam selama beberapa hari lalu ketika wujudnya ketidaktentuan terhadap hasil kadar, jelas Rakuten Trade. 

 

“Pembeli kembali dengan meletakkan harapan terhadap keyakinan vaksin dan pembukaan semula ekonomi pada masa akan datang. 

 

“Dow Jones Industrial Average menokok 600 mata untuk ditutup melebihi paras 31,500 sekali lagi. 

 

“Oleh itu, kami percaya pasaran serantau akan bertambah lebih baik hari ini setelah berprestasi agak kukuh semalam,” tambah Rakuten Trade.  - DagangNews.com