KDNK 3Q20 dijangka menguncup 3% | DagangNews Skip to main content

KDNK 3Q20 dijangka menguncup 3%

KDNK

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka menguncup sebanyak 3% pada suku ketiga 2020 (3Q20) berbanding tahun 2019.

Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research) berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan kepada prestasi kebanyakan sektor yang belum menunjukkan pemulihan yang baik.

"Dengan mengecualikan sektor pertanian dan pembuatan, sektor-sektor ekonomi lain dijangka akan mengalami penurunan lebih kecil.

"Pertumbuhan sektor pertanian bagaimanapun diharap dapat disokong oleh tahap kebiasaan pengeluaran minyak sawit.

"Bagi sektor pembuatan pula, sektor ini akan melembutkan penurunan KDNK dengan indeks pembuatan yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.1% setelah kilang-kilang dibenarkan untuk beroperasi semula semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," jelas HLIB Research seperti dilapor The Edge.

Keputusan KDNK bagi suku ketiga 2020 akan dikeluarkan esok.

Dalam nota kajian yang sama, HLIB Research memberitahu, sektor perlombongan dilihat akan terus menurun susulan pengeluaran minyak mentah dan gas asli yang berada pada tahap kurang baik.

Situasi berkenaan terjadi ekoran tahap permintaan minyak mentah dan gas asli global yang lemah.

Situasi sama turut dilihat dalam sektor pembinaan yang dijangka akan terus lemah susulan kekurangan jumlah pembinaan kediaman dan bangunan bukan kediaman.

Tambah HLIB Research, aktiviti ekonomi negara menunjukkan prestasi yang baik dengan beberapa peningkatan menjelang akhir suku ketiga 2020.

Aktiviti pembuatan meningkat kepada 4.3% tahun ke tahun pada September seiring dengan peningkatan yang dicatatkan oleh eksport.

Manakala perdagangan borong dan runcit turut menunjukkan pemulihan setelah mengalami penurunan selama enam bulan berturut-turut.

"Namun demikian, peningkatan kadar jangkitan dalam dan luar negara menyebabkan momentum pertumbuhan yang lebih rendah pada suku keempat 2020.

"KDNK 2020 diramal menurun sebanyak 5% dalam penyusutan tahunan berbanding pertumbuhan 4.3% pada 2019," ujar HLIB Research lagi. - DagangNews.com