KDNK PKS paling tinggi merosot pada kadar 7.3% - Jabatan Perangkaan | DagangNews Skip to main content

KDNK PKS paling tinggi merosot pada kadar 7.3% - Jabatan Perangkaan

Gambar hiasan - Kompleks PKNS Shah Alam

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Julai - Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi tahun 2020 merosot 7.3%, lebih tinggi berbanding kemerosotan KDNK Malaysia dan bukan PKS yang mana masing-masing mencatatkan -5.6% dan -4.6%. 

 

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, sejak 2004, ini merupakan kali pertama prestasi KDNK PKS lebih rendah berbanding KDNK Malaysia dan KDNK bukan PKS. 

 

“Sumbangan KDNK PKS mengecil kepada 38.2% pada tahun 2020 dengan nilai ditambah sebanyak RM512.8 bilion berbanding 38.9% atau RM553.5 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan berhubung statistik PKS Malaysia bagi tahun 2020. 

 

Statistik PKS ini memperincikan sumbangan sektor itu kepada ekonomi dari segi KDNK, eksport dan guna tenaga. 

 

Mengulas lanjut mengenai prestasi KDNK PKS mengikut aktiviti ekonomi, beliau menyatakan bahawa semua sektor merekodkan pertumbuhan negatif pada tahun 2020. 

 

Katanya, nilai ditambah PKS bagi sektor Perkhidmatan menyusut 9.2% pada tahun 2020 daripada 7.5% pada tahun 2019 disebabkan oleh penurunan bagi subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan yang mencatatkan pertumbuhan -27.8%. 

 

“Subsektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan turut menyusut pada tahun 2020 kepada -10.6%,” ujar beliau lanjut. 

 

Sumbangan eksport PKS kepada jumlah eksport pada tahun 2020 pula adalah 13.5% di mana 9.4% merupakan daripada sektor Pembuatan. 

 

Selain itu, sektor Perkhidmatan menyumbang sebanyak 3.9% dan sektor Pertanian 0.3%. 

 

Ujar Mohd Uzir, eksport PKS mencatatkan penurunan 33.1% kepada RM117.8 bilion pada tahun 2020 berbanding pertumbuhan 2.6% pada tahun 2019, disebabkan oleh sektor Perkhidmatan (-62.1%) dan Pembuatan (-3.6%). 

 

Eksport PKS bagi sektor Pertanian pada tahun 2020 adalah RM2.3 bilion, merekodkan pertumbuhan 2.5% yang disebabkan oleh peningkatan dalam eksport PKS bagi sayur-sayuran, perikanan, ayam atau itik, pisang dan durian. 

 

Walau bagaimanapun, eksport PKS bagi durian termasuk durian segar, durian sejuk beku, ulas dan pes mencatatkan peningkatan 34.6% pada tahun 2020 kepada RM570.8 juta berbanding RM424.1 juta pada 2019. 

 

Destinasi eksport utama pada 2020 adalah China (70.3%), Singapura (8.3%) dan Hong Kong (6.1%).

 

Mengulas mengenai kedudukan guna tenaga PKS pada 2020, Mohd Uzir berkata, penurunan yang lebih besar dapat dilihat dalam guna tenaga PKS berbanding pengurangan guna tenaga nasional, menunjukkan PKS lebih terkesan akibat pandemik. 

 

Guna tenaga PKS mencatatkan penurunan 0.9% kepada 7.3 juta orang pada 2020, meliputi 48.0% daripada guna tenaga nasional. 

 

Produktiviti buruh PKS yang diukur sebagai nilai ditambah per pekerja pula jatuh 6.5% pada 2020 merekodkan nilai RM70,706. 

 

Kesemua sektor ekonomi mencatatkan penurunan produktiviti buruh PKS sepanjang tahun tersebut dengan sektor Pembinaan jatuh dua digit, 11.1% diikuti oleh sektor Perkhidmatan (-8.6%) dan Perlombongan & Pengkuarian (-5.9%). 

 

“Segmen ekonomi yang mudah terkesan terutamanya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana dilihat akan terus berhadapan dengan cabaran dalam waktu terdekat ini. 

 

“PKS akan mengalami kesan yang lebih sukar dalam tempoh pemulihan terutamanya semasa pertengahan krisis kesihatan yang berpanjangan disebabkan oleh peningkatan kes COVID-19 serta sekatan sosial dan ekonomi yang telah dikenakan di seluruh negara. 

 

“Walau bagaimanapun, melalui pelbagai inisiatif berdasarkan kepada pakej rangsangan ekonomi bagi PKS yang telah mula diperkenalkan oleh kerajaan diharap dapat mengatasi kesan COVID-19 kepada masyarakat dan ekonomi khususnya PKS Malaysia,” katanya lagi. - DagangNews.com