Keadaan kewangan domestik pada September bertambah ketat - BNM | DagangNews Skip to main content

Keadaan kewangan domestik pada September bertambah ketat - BNM

KUALA LUMPUR 31 Okt - Keadaan kewangan domestik bertambah ketat pada September, didorong terutamanya oleh perkembangan luaran. 

 

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), pada bulan tersebut, kadar hasil bon global meningkat, pasaran ekuiti merosot dan dolar Amerika Syarikat (AS) terus mengukuh. 

 

"Keadaan ini mencerminkan jangkaan bahawa dasar monetari akan diketatkan lagi terutamanya oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) bagi menangani tekanan inflasi yang berterusan dalam keadaan prospek pertumbuhan global yang lebih sederhana.

 

"Walaupun begitu, purata jumlah dagangan dan volatiliti kadar tukaran asing (FX) dalam pasaran kewangan domestik kekal baik," menurut bank pusat dalam laporan bulanan September 2022 yang dikeluarkan hari ini.

 

Pada September, kadar hasil MGS 10 tahun terus meningkat sebanyak 43.0 mata asas (purata serantau: 58.0 mata asas) manakala FBM KLCI menurun sebanyak 7.8% (purata serantau: -6.9%), didorong oleh aliran keluar portfolio bukan pemastautin daripada pasaran bon dan ekuiti domestik.

 

Ringgit pula menurun nilai sebanyak 3.5% berbanding dengan dolar AS (purata serantau: -3.8%) berikutan mata wang AS yang terus kukuh.

 

Bank-bank terus mencatatkan tahap penampan mudah tunai yang kukuh dengan Nisbah Perlindungan Mudah Tunai agregat pada 152.5% (Ogos: 141.1%).

 

Pertumbuhan deposit yang mampan susulan kegiatan ekonomi yang kembali pulih terus menyokong aktiviti pemberian pinjaman oleh bank-bank. Nisbah pinjaman kepada dana agregat kekal stabil pada 82.5% (Ogos: 82.6%).

 

Pembiayaan bersih meningkat 5.6% pada akhir September (Ogos: 6.1%), mencerminkan pertumbuhan yang lebih rendah dalam pinjaman terkumpul (6.4%; Ogos: 6.8%) dan bon korporat (3.5%; Ogos: 4.3%).

 

Pertumbuhan dalam pinjaman isi rumah terkumpul kekal tidak berubah pada 6.6%, mencerminkan pertumbuhan yang stabil merentas kebanyakan tujuan. 

 

Pengeluaran pinjaman terus mencatatkan pertumbuhan yang tinggi meskipun pada kadar sederhana, dalam
keadaan trend bayaran balik pinjaman yang mampan.

 

Bagi sektor perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul menurun kepada 5.2% (Ogos: 6.8%), sebahagiannya disebabkan oleh kesan asas yang lebih tinggi. 

 

Namun begitu, pengeluaran pinjaman kekal mampan, didorong terutamanya oleh segmen perdagangan borong, perkilangan pengguna dan kejuruteraan awam. 

 

BNM berkata, secara keseluruhan, nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih pada amnya kekal stabil, masing-masing pada 1.82% (Ogos: 1.84%) dan 1.12% (Ogos: 1.13%).

 

"Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab kawal selia) kekal pada tahap berhemat sebanyak 115.2% daripada pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.8% daripada jumlah pinjaman.

 

"Setakat akhir September 2022, sistem perbankan mencatatkan jumlah peruntukan dan rizab kawal selia sebanyak RM41.9 bilion," katanya. - DagangNews.com