Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Okt. - Di sebalik risiko yang wujud terutama ancaman varian baharu COVID-19, penganalisis percaya strategi kerajaan untuk membuka semula ekonomi adalah langkah yang tepat.
Ini berdasarkan kepada beberapa negara di rantau ini yang sudah mengambil pendekatan 'hidup dengan COVID-19' berbanding sifar COVID-19, antaranya, Indonesia, Thailand dan Singapura.
Kerajaan semalam mengumumkan kebenaran rentas negeri bermula hari ini, yang dilihat secara tidak langsung sebagai petanda negara kini bergerak ke fasa endemik menjelang akhir bulan ini.
Sehubungan itu, AmInvestment Bank Research berpendapat, pengumuman tersebut mampu merangsang pasaran ekuiti tempatan dengan sektor pengangkutan dilihat paling banyak mendapat manfaat daripada pembukaan ekonomi.
Dalam hal ini, katanya, Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dan Perak Transit Bhd. akan mendapat kelebihan masing-masing.
"Bagi MAHB, ia akan menyaksikan jumlah penumpang yang lebih tinggi manakala Perak Transit pula berpeluang meraih pendapatan sewaan yang lebih tinggi menerusi operasi segmen terminal pengangkutan awam bersepadu.
"Kami juga melihat Perak Transit akan menikmati jualan yang lebih tinggi menerusi operasi stesen minyak di bawah kendaliannya.
"Oleh itu, kami menambah sahamnya dalam senarai 10 pilihan utama kami dengan saranan 'beli' pada nilai saksama, RM1.08," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagi 9 lagi saham pilihan utamanya yang diberi saranan 'beli' termasuklah Malayan Banking Bhd. (Maybank), Tenaga Nasional Bhd. (TNB), CIMB Group, Telekom Malaysia Bhd. (TM), RHB Bank Bhd., Westports Holdings Bhd., Sime Darby Plantation Bhd., Dialog Group dan Media Prima Bhd.
Firma itu turut mengekalkan unjuran akhir tahun KLCI sekitar 1,643 mata, setelah mengambil kira usaha pemulihan ekonomi meskipun tidak sepenuhnya mencapai paras sebelum pandemik dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun, AmInvestment percaya, rakyat Malaysia masih perlu mengambil langkah-langkah berhati-hati dan mematuhi prosedur standard operasi (SOP) berikutan pembukaan semula rentas negeri.
"Risiko masih ada dengan ancaman daripada varian baharu COVID-19. Tetapi, dalam masa sama, pengambilan vaksin terbukti dapat mengurangkan simptom yang lebih buruk," jelasnya.
Berdasarkan peratusan populasi penduduk yang divaksinkan sepenuhnya, Malaysia berada di kedudukan ketiga tertinggi dalam kalangan negara ASEAN.
Situasi semasa jangkitan juga semakin menurun kepada 7,373 kes setakat 10 Oktober, lebih rendah berbanding kes tertinggi direkodkan sebanyak 24,599 pada 26 Ogos lalu.
Pada masa sama, kadar penggunaan unit penjagaan rapi (ICU) juga semakin menurun sejajar dengan peningkatan kadar vaksinasi. Ini dapat dilihat setakat semalam, kadar penggunaan ICU menurun kepada 61.6%.
"Ini secara tidak langsung menunjukkan jalan ke arah pembukaan lebih banyak ekonomi meskipun ia belum pulih sepenuhnya ketika sebelum pandemik COVID-19.
"Kami positif dengan perkembangan ini memandangkan kadar vaksinasi yang tinggi menjadi petunjuk utama yang ekonomi akan pulih dengan cepat di Malaysia berbanding kebanyakan negara lain di rantau ini," katanya. - DagangNews.com