Kebimbangan pelabur terhadap Serba Dinamik, jejas pasaran saham minggu lalu | DagangNews Skip to main content

Kebimbangan pelabur terhadap Serba Dinamik, jejas pasaran saham minggu lalu

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 10 Jun - Kebimbangan pelabur terhadap konflik yang dihadapi Serba Dinamik Holdings Bhd. secara tidak langsung memberi kesan kepada pasaran saham tempatan bagi minggu berakhir 4 Jun lalu.

 

Ini menyaksikan indeks utama FBM KLCI susut 1% minggu ke minggu, selain kerugian dalam kaunter-kaunter berkaitan tenaga, penjagaan kesihatan dan perladangan.

 

Jumlah purata dagangan harian susut 3% kepada 7.47 bilion unit manakala nilai purata dagangan harian jatuh 15% kepada RM4 bilion.

 

CGS-CIMB mendapati pelabur institusi tempatan menjual paling banyak ekuiti sebanyak RM469 juta, meningkat 57% berbanding RM298 juta pada minggu sebelumnya. 

 

"Pelabur institusi paling banyak menjual ekuiti dalam sektor tenaga dan penjagaan kesihatan terutama membabitkan saham Serba Dinamik, Pharmaniaga dan Petronas Chemical.

 

"Dagangan mereka juga berubah lebih negatif kemungkinan disebabkan masalah tadbir urus yang menimpa Serba Dinamik," katanya dalam laporan aliran dana mingguan.

 

Baca : Selagi belum selesai, Serba Dinamik jadi tumpuan pelabur

 

Serba Dinamik menjadi tumpuan pemerhati pasaran ekoran transaksi meragukan lebih RM3 bilion dibangkitkan juruauditnya, KPMG.

 

CGS-CIMB berkata, berbeza dengan pelabur institusi, saham Serba Dinamik sebaliknya paling banyak dibeli pelabur runcit minggu lalu.

 

Selain itu, katanya, mereka juga membeli saham Hartalega dan Pharmaniaga menjadikan keseluruhan berjumlah RM432 juta berbanding RM146 juta minggu sebelumnya.

 

"Saham Serba Dinamik juga menjadi pilihan pelabur penama selain Hartalega dan Top Glove sepanjang minggu lalu," tambahnya. 

 

Sementara itu, pelabur asing menjual RM136 juta ekuiti minggu lalu berbanding pembelian bersih RM190 juta sebelum itu.

 

Pegangan asing dalam pasaran ekuiti Malaysia juga meningkat 0.1% bulan ke bulan kepada 20.4% setakat akhir Mei 2021 di sebalik penjualan ekuiti oleh pelabur asing pada bulan tersebut. - DagangNews.com