Kebocoran paip gas di Sabah tidak jejas pengeluaran LNG harian Bintulu Port - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Kebocoran paip gas di Sabah tidak jejas pengeluaran LNG harian Bintulu Port - AmInvestment

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Okt - Impak kebocoran paip gas di Sabah dilihat hanya memberi kesan minimum kepada pengeluaran gas asli cecair (LNG) harian Bintulu Port Holdings Berhad.

 

AmInvestment Bank Research berkata, kesan yang diterima kumpulan itu adalah kecil kerana kebanyakan LNG  kumpulan itu diraih dari Sarawak dan bukan Sabah.

 

"Pengeluaran gas asli harian dari Sabah hanya 15,200 tan sehari atau 18% daripada 83,900 tan sehari Sarawak manakala kapasiti pengeluaran MLNG2 ialah 9.6 juta tan setahun atau 263,000 tan sehari.

 

"Dengan mengandaikan 60 hari gangguan akan berlaku kekurangan sehingga 1 juta tan LNG pada FY22 yang hanya akan mengurangkan pendapatan Bintulu Port sebanyak 2.1%.

 

"Satu lagi faktor pengurangan ialah Petronas boleh memilih untuk meningkatkan pengeluaran di Sarawak bagi menampung kekurangan bekalan dari Sabah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Petronas mengisytiharkan gangguan ke atas bekalan LNG kepada pelanggannya akibat kebocoran saluran paip akibat pergerakan tanah di sekitar Talian Paip KP201 pada 21 September 2022.

 

Kebocoran itu hanya menjejaskan kemudahan pengeluaran MLNG2 dengan kapasiti nominal 9.6 juta tan setahun  atau 33% daripada jumlah kapasiti nominal MLNG Petronas.

 

Sebelum ini, gangguan serupa berlaku pada Januari 2018 dan pendapatan selepas cukai (PAT) Bintulu Port hanya turun 3% pada FY18 daripada FY17.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap kumpulan itu dengan harga wajar (FV) RM6.05 sesaham," katanya. - DagangNews.com