Kecoh pasal Ketua SPRM, jangan sampai leka usaha memerangi rasuah | DagangNews Skip to main content

Kecoh pasal Ketua SPRM, jangan sampai leka usaha memerangi rasuah

KUALA LUMPUR 20 Jan – Di sebalik serangan bertubi-tubi, ulasan jelik dan perbicaraan menerusi media terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki, agensi penguatkuasaan utama bagi menentang rasuah hendaklah tidak lepas tangan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya, menurut Advokasi Runci dan Jenama Dagangan Malaysia (RTBA Malaysia).

 

RTBA Malaysia, yang merupakan sebahagian daripada kumpulan advokasi antarabangsa yang melindungi perniagaan di rantau Asia Pasifik daripada perlakuan jenayah, juga berkata, inilah masanya keseluruhan organisasi SPRM Bersatu padu melindungi dan mempertahankan institusi sambil terus memantau pihak yang cuba menganggu gugat tugasnya dan mempersoalkan integrity SPRM.

 

Pengarah Urusan RTBA Malaysia, Dato' Fazli Nordin berkata, “Dalam banyak keadaan, `bendera merah’ biasanya dinaikkan apabila seorang pegawai kanan anti rasuah tiba-tiba dipersoalkan dengan tuduhan dan tuntutan. Biasanya, soalan-soalan akan dibangkitkan mengenai dorongan dan masa tuduhan ini timbul, apakah ia lebih daripada sekadar tuduhan?’’

 

“Dalam kes Tan Sri Azam Baki, keadaan bagaimana kontroversi ini telah tercetus dan paras kekecohan berterusan daripadanya jelas memerlukan penyiasatan lebih mendalam,’’ ujar beliau.

 

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia semalam, mengumumkan bahawa ia telah menyelesaikan siasatan kes tersebut dan tidak dapat secara muktamad sama ada berlaku pelanggaran di bawah seksyen 25(4) Akta Industri (Depositori Utama) 1991 (SICDA).

 

Fazli menjelaskan bahawa RTBA Malaysia tidak memaksudkan wujud teori konspirasi tetapi berharap semua pihak berkaitan dengan kes ini, terutama pihak regulator dan pentadbiran perkhidmatan awam, supaya melihat isu ini secara lebih menyeluruh dan strategik disebabkan kedudukannya sebagai ketua SPRM.

 

 “Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak berada di atas undang-undang tetapi beliau juga hendaklah diberi pendengaran yang adil dan bukan perbicaraan menerusi media dan serangan berterusan daripada umum yang boleh memberi impak terhadap keseluruhan agensi anti rasuah tersebut,’’ tegas Fazli.


 

Dato' Fazli Nordin
                    Dato' Fazli Nordin

 


“Sebagai organisasi berperanan memerangi rasuah, SPRM hendaklah tidak lemah semangat, sebaliknya menjadi lebih teliti dalam usahanya mencari penyelesaian terhadap kontroversi ini dan pada masa yang sama, memastikan penyiasatan yang berlangsung tidak dipinggirkan,’’ tambahnya.

 

“Secara keseluruhannya, krisis ini hendaklah diselesaikan dengan segera dan menyeluruh bagi menjaga nama baik dan reputasi SPRM supaya tidak menjejaskan usaha kita memerangi rasuah,’’ kata Fazli. 

 

TBA Malaysia adalah divisyen kecil RTBA, berpusat di Victoria, Australia. Ia merupakan gabungan perniagaan, peruncit dan pemegang tanda dagang yang bekerja bersama untuk melindungi industri runcit dan pembekal di rantau Asia Pasifik daripada impak perlakuan jenayah.

 

Fokus RTBA adalah untuk menyatukan, menggerakkan dan advokasi bagi perubahan berkesan di dalam isu perundangan, kewangan dan percukaian yang memberi kesan kepada rantaian pembekalan.

 

Hari ini, RTBA terus memainkan peranan penting di dalam usahanya untuk meningkatkan keselamatan produk dan menambah denda-denda terhadap penjenayah yang terbabit di dalam operasi pasaran gelap; membanteras aktiviti haram termasuk pemalsuan, cetak rompak dan penyeludupan barangan konsumer; melindungi jenama & hak IP pembekal, pengilang, pemilik tanda harga dan juga konsumer bagi menyediakan penyelesaian peraturan dan percukaian yang positif untuk semua pihak di dalam rantaian pembekalan dan perdagangan. - DagangNews.com