Kedudukan Dayang dijangka kukuh, disokong buku pesanan bernilai RM1.4 bilion | DagangNews Skip to main content

Kedudukan Dayang dijangka kukuh, disokong buku pesanan bernilai RM1.4 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Kedudukan Dayang Enterprise Holdings Bhd dijangka kukuh disokong buku pesanan bernilai RM1.4 bilion yang menyediakannya keterlihatan pendapatan yang mencukupi dalam segmen penyelenggaran sepanjang FY24.

 

Kenanga Research berkata, tempoh ini juga akan menyaksikan tamatnya lanjutan tahunan kontrak penyelenggaraan dan penyambungan & pentauliahan (HUC) daripada Petronas dan pelanggan lain.

 

Katanya, kumpulan itu dijangka mendapat manfaat daripada pusingan anugerah kontrak yang akan datang menjelang akhir FY24.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sekiranya kontrak itu ditangguhkan, Dayang dijangka mendapat lanjutan perkhidmatan penyelenggaraannya berikutan unjuran permintaan tinggi dalam sektor itu.

 

"Sebagai respon kepada jangkaan peningkatan dalam pesanan kerja penyelenggaraan atas serta kadar sewaan harian (DCR) yang lebih baik dan kami telah menyemak semula ramalan pendapatan untuk FY24 dan FY25 ke atas.

 

"Unjuran baharu itu termasuk peningkatan 25% untuk FY24 dan peningkatan 15% untuk FY25. Kadar DCR yang disemak adalah RM97,000 sehari untuk FY24 (naik daripada RM89,000) dan RM104,500 sehari untuk FY25 (naik daripada RM101,000), mencerminkan trend industri yang positif," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih teras 1HFY24 Dayang sebanyak RM155.1 juta mengatasi jangkaan firma penyelidikan (64%) dan konsensus (64%).

 

Prestasi cemerlang itu adalah disebabkan pesanan kerja yang lebih kukuh daripada jangkaan untuk penyelenggaraan bahagian atas luar pesisir (TMS) serta keuntungan yang lebih tinggi daripada jangkaan daripada bahagian marinnya.

 

Kenanga Research menyukai Dayang kerana terdapat beberapa faktor utama yang memacu pertumbuhan termasuk peningkatan dalam aktiviti penyelenggaraan huluan, kedudukan kewangan yang kukuh dan potensi perkembangan segmen marin.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM3.80 sesaham.- DagangNews.com