Kedudukan fiskal kerajaan terhad, MRT3 berdepan cabaran pelaksanaan model pembiayaan hibrid | DagangNews Skip to main content

Kedudukan fiskal kerajaan terhad, MRT3 berdepan cabaran pelaksanaan model pembiayaan hibrid

MRT3 adalah model hibrid yang pertama di bawah MRT Corp. - Gambar hiasan/Facebook MRT Corp.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Mac - Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dijangka membuka tawaran tender bagi projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) pada suku keempat ini sebelum dikeluarkan pada 2023, menurut CGS-CIMB Research.

 

Penganalisisnya, Sharizan Rorsely bagaimanapun berkata, cabaran kini terletak kepada pelaksanaan model pembiayaan hibrid yang memerlukan penyertaan sektor swasta yang besar untuk memulakan peringkat kerja-kerja awam di peringkat awal.

 

Ini kerana katanya, MRT3 adalah model hibrid yang pertama seumpamanya di bawah ruang lingkup projek MRT Corp.

 

"Tumpuan sektor ketika ini beralih kepada pelaksanaan dan sejauh mana kejayaan model pembiayaan hibrid, dengan megambil kira kedudukan fiskal kerajaan yang terhad. 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan MRT Corp. akan mempercepatkan libat urus dengan industri, bagi memuktamadkan struktur dan penjajaran projek hibrid, sebelum mengumumkan penawaran tender yang kami jangkakan pada suku keempat ini," katanya dalam nota kajian.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jumaat lalu berkata, kabinet bersetuju untuk melaksanakan projek MRT3, menambah baik pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) dan projek tebatan banjir.

 

Keutamaan akan diberikan kepada kontraktor tempatan, terutama golongan bumiputera bagi menjana peluang perniagaan dan mewujudkan 600,000 pekerjaan, tahun ini.

 

Baca : Harga bahan pembinaan dijangka lonjakkan kos MRT3 lebih tinggi

 

Pada November lalu, MRT Corp. menjangkakan tawaran tender bagi projek MRT3 akan dibuka untuk bidaan bermula suku kedua 2022 memandangkan kerajaan masih dalam peringkat akhir perincian mengenai pelan pembiayaan.

 

Sharizan berkata, kebenaran yang diberikan untuk projek MRT 3 merupakan satu perkembangan yang cukup positif kerana ia menyediakan peluang pekerjaan yang amat besar pasca pandemik.

 

Malah, katanya, perkembangan mengenai MRT3 akan mendapat daya tarikan dalam beberapa bulan akan datang dengan sentimen pelabur tertarik kepada peluang dagangan dipacu projek mega ini.

 

"Kami menjadi lebih yakin kepada penerima manfaat di bawah projek ini menerusi pakej perkhidmatan kejuruteraan dan pengurusan projek (EPMS) yang mungkin akan dikeluarkan semasa peringkat reka bentuk dan sebelum anugerah kerja awam serta penerima pakej MRT3 bernilai lebih besar dengan kelebihan yang lebih jelas berbanding bakal kontraktor lain," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor pembinaan yang tidak berubah susulan pengumuman tersebut.
 

Namun, menurutnya, dengan ketiadaan pembiayaan langsung kerajaan menerusi Bajet 2022, risiko meningkat kepada penilaian sektor 'neutral' yang tidak berubah adalah mendapatkan lebih kejelasan dan penerimaan cadangan pembiayaan hibrid.  

 

"Risiko menurun pula adalah bergantung kepada kelewatan projek. Kami memberikan penilaian neutral kepada inisiatif infrastruktur baharu lain kerana impak ke atas nilai perolehan projek dijangka kurang ketara,” katanya. 

 

Firma itu menjangkakan Gamuda Bhd. akan meraih kelebihan dalam projek MRT3 berdasarkan rekod kukuhnya dalam skop kerja-kerja bawah tanah membabitkan projek MRT1 dan terkini memperoleh kontrak di Australia.

 

Bagi kontrak EPMS pula, ia memberi petanda baik kepada HSS Engineers Bhd. berdasarkan keupayaannya memperoleh pakej MRT sebelum ini. - DagangNews.com