KUALA LUMPUR 13 Sept - Maybank Investment Bank (IB) Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Velesto Energy Bhd. dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada 22 sen daripada 20 sen sebelum ini.
Sejajar dengan semakan itu, ia menaikkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY24 sebanyak 20% hingga 35% dengan sebahagian besarnya mencerminkan prospek kadar sewaan harian (DCR) yang lebih tinggi dalam tempoh 24 bulan akan datang.
Menurut firma itu, Velesto berada dalam kedudukan yang kukuh untuk meraih manfaat daripada permintaan pelantar jack-up yang semakin meningkat dengan penggunaan di peringkat global dan rantau Asia Tenggara masing-masing melepasi 90% dan 80%, paras yang tidak pernah dilihat sejak 2014.
Katanya, kenaikan mendadak ini didorong harga minyak mentah (kekal melebihi AS$70 setong), keselamatan tenaga, perbelanjaan modal (capex) yang lebih tinggi dan penurunan bekalan sejak tujuh tahun lalu.
Pasaran Asia Barat menyaksikan pertumbuhan utama sebanyak 50%, yang menjadi pemangkin kepada kitaran kenaikan ini.
"Apabila pasaran semakin ketat, tempoh kontrak juga semakin meningkat (daripada 12 bulan kepada lebih 12 bulan sekarang), kerana pengendali kini bimbang jika mereka tidak berupaya tidak mendapatkan jack-up.
"Oleh itu, unjuran peningkatan hasil kami antara 20% hingga 35% mencerminkan DCR yang lebih tinggi sebanyak AS$80,000 hingga AS$85,000 berbanding AS$70 sebelum itu. Ini adalah konservatif, bagi menggambarkan julat rendah DCR di Asia Tenggara.
"Berdasarkan analisis sensitif kami, setiap kenaikan AS$1,000 dalam DCR akan meningkatkan untung bersih bagi FY23 sebanyak RM6 juta," katanya dalam nota kajian hari ini.
Penanda aras DCR semakin meningkat kepada AS$73,000 hingga AS$120,000 (bagi spesifikasi jack-up <350 IC berbanding AS$73,000 hingga AS$87,000) diikuti AS$80,000 hingga AS$109,000 (bagi spesifikasi jack-up >350 IC berbanding AS$75,000 hingga AS$104,000) ketika ini di Asia Tenggara.
Menurut Maybank IB, DCR bagi pelantar jack-up di rantau ini tidak pernah melepasi paras AS$100,000 sejak 2015.
Katanya, terdapat kenaikan yang ketara di Malaysia dari segi kontrak jack-up kerana Petronas meningkatkan kerja-kerja penggerudian.
"Berdasarkan jadual program pelantar Velesto bagi 2023, ia kemungkinan boleh meningkat melebihi 80% kadar penggunaan, sekiranya memperoleh kontrak bagi semua tender yang sedang dirundingnya buat masa ini," jelasnya.
Selain DCR, firma itu juga mengambil kira peningkatan penggunaan yang lebih tinggi, yang pada masa ini sekitar 74% hingga 80% bagi FY23 hingga FY24.
"Oleh itu, perbelanjaan operasi bagi jack-up juga telah meningkat sekitar 10% hingga 20% ketika ini, berikutan kenaikan harga tenaga yang lebih tinggi," tambahnya.
Dengan mengambil kira jadual kerja Velesto yang terkini, Maybank IB menjangkakan kumpulan akan merekodkan prestasi kewangan yang lebih kukuh pada separuh kedua ini dan membolehkannya kembali mencatat untung pada FY22.
"Untuk mencapai pulang modal, Velesto perlu mencapai kadar penggunaan pada 69% berbanding 61% anggaran kami.
"Namun, fokus harus tertumpu pada FY23 memandangkan kami menjangkakan Velesto akan pulih dari segi kewangan apabila ia mendapat memanfaatkan daripada program capex Petronas untuk aktiviti penggerudiannya," katanya.
Setakat 10.14 pagi ini, harga saham Velesto kekal tidak berubah pada 10 sen dengan 10.88 juta saham diniagakan. - DagangNews.com