Kedudukan Malaysia dalam daya saing global melonjak ke tangga 25 | DagangNews Skip to main content

Kedudukan Malaysia dalam daya saing global melonjak ke tangga 25

Mohamed Azmin Ali
 

KUALA LUMPUR 30 Jun - Tahap daya saing Malaysia di peringkat global terus meningkat apabila kedudukan negara dalam World Competitiveness Yearbook 2021 melonjak ke tangga 25 daripada 64 ekonomi berbanding tangga ke-27 pada tahun lalu.

 

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Malaysia juga berada pada kedudukan kedua daripada 190 ekonomi dalam World Bank's Ease of Doing Business 2020 membabitkan permit pembinaan. 

 

"Bagi memastikan Malaysia terus berada di landasan pemulihan ekonomi dan pertumbuhan mampan, aspek kawal selia negara perlu menjadi lebih bersiap sedia terhadap perubahan pesat dalam pasaran. 

 

"Sehubungan itu, kerangka kerja kawal selia perlu direka seiring penerimaan inovasi teknologi, memastikan persekitaran yang terbuka dan tidak diskriminasi, melindungi pengguna dan pekerja selain mengatasi isu-isu gangguan yang tercetus," katanya ketika berucap pada pelancaran rasmi maya 'Laporan Produktiviti 2021- Meningkatkan Produktiviti: Set Semula, Pembaharuan, Pemulihan’, hari ini. 

 

Tambah beliau, pertumbuhan produktiviti yang mampan bergantung kepada modal, rakyat dan tenaga kerja yang produktif. 

 

Disebabkan itu, pentingnya untuk mewujudkan langkah-langkah yang membentuk semula tenaga kerja Malaysia supaya lebih dinamik, tangkas dan berdaya tahan bagi memulihkan produktiviti, ujarnya.

 

Ini termasuk program-program peningkatan kemahiran dan latihan semula perlu mendorong ke arah kemahiran mempunyai permintaan tinggi.

 

"Menerusi Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang bakal menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi dan destinasi utama untuk industri berteknologi serta berimpak tinggi, pembuatan pintar dan perkhidmatan berkaitan, proses transformasi digital kita juga mesti bergerak seiring.

 

“Kita sudah pun menyaksikan hasil NIA pertama apabila pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama bagi suku pertama 2021 (1Q21) melonjak sebanyak 95.6% tahun ke tahun kepada RM80.6 bilion,” ujar beliau lanjut. - DagangNews.com