Keith Ooi dilantik sebagai pengarah urusan kumpulan Knight Frank Malaysia | DagangNews Skip to main content

Keith Ooi dilantik sebagai pengarah urusan kumpulan Knight Frank Malaysia

Keith Hy Ooi dilantik sebagai pengarah urusan kumpulan Knight Frank Malaysia.

KUALA LUMPUR 4 Jan - Syarikat perunding hartanah, Knight Frank Malaysia mengumumkan kenaikan pangkat Keith Hy Ooi kepada pengarah urusan kumpulan berkuat kuasa Januari 2023 dan ia sebagai sebahagian daripada pelan penggantian di samping selaras dengan strategi pertumbuhannya.

 

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata, beliau merancang untuk memperkukuh jenama hartanah utama itu menerusi cogan kata peribadinya iaitu 4E iaitu memperkasakan (empower), bekerjasama (engage), menerima (embrace) dan mengembangkan (expand).

 

Menurutnya strateginya, termasuk memperkasakan warga Knight Frank Malaysia untuk membuat perubahan dalam syarikat, bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk menambah baik perkhidmatan, menerima perubahan dan penerimagunaan digital, serta mengembangkan kehadiran syarikat ke negeri lain di Malaysia.

 

Beliau yang menyertai syarikat pada 2007 ialah ketua negara Knight Frank Kemboja sebelum kembali untuk mengetuai bersama perniagaan penilaian dan khidmat nasihat itu di Malaysia, lapor Bernama.

 

Knight Frank Malaysia, yang meraikan ulang tahun ke-20 penubuhannnya tahun lepas, beribu pejabat di Kuala Lumpur dan mempunyai cawangan di Pulau Pinang, Johor dan Sabah.

 

Kenaikan pangkat Keith mendorong lonjakan barisan kepimpinan syarikat dengan Sarkunan Subramaniam dinaikkan pangkat sebagai pengerusi eksekutif kumpulan dan Eric Ooi terus berkhidmat sebagai pengasas dan penasihat kumpulan. - DagangNews.com