Kejayaan program vaksinasi bukti kerajaan berada di landasan betul selama ini – Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

Kejayaan program vaksinasi bukti kerajaan berada di landasan betul selama ini – Muhyiddin


KUALA LUMPUR 10 Okt - Kejayaan program vaksinasi negara sehingga membolehkan rakyat negara ini kembali menjalankan aktiviti sosial dan ekonomi seperti biasa, termasuk kebenaran rentas negeri menunjukkan usaha dan perancangan yang diambil kerajaan selama ini adalah berada pada landasan yang betul.

 

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerjasama semua pihak dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) – program vaksinasi terbesar negara telah menjadikan Malaysia menjadi antara negara yang mempunyai kadar vaksinasi tertinggi di dunia.



Katanya, trend jangkitan pandemik COVID-19 kini juga menunjukkan penurunan yang boleh lihat berdasarkan penurunan dalam jumlah kes kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara.

 

“Ini jelas membuktikan usaha dan perancangan kerajaan selama ini berada pada landasan yang betul terutama dalam mengurus program vaksinasi negara dan seterusnya membuka sektor sosial dan ekonomi secara terancang dan selamat,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.

 

Muhyiddin juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan, pihak swasta, badan-badan bukan kerajaan dan pasukan sukarelawan yang bekerja keras, siang dan malam bagi menjayakan PICK.

 

“Jasa dan pengorbanan anda sekalian menjadi bukti jelas bahawa semangat juang dan kecekalan rakyat Malaysia masih utuh dalam kita berhadapan cabaran yang cukup getir ini.

 

“Jutaan terima kasih juga kepada semua petugas di hospital-hospital seluruh negara dan barisan hadapan keselamatan yang masih terus memantau pematuhan SOP,” katanya.

 

Mengenai penutupan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega World Trade Centre KL (WTCKL), beliau berkata, sejak pembukaannya pada 5 Mei, PPV WTC KL telah berjaya memberikan 1.2 juta dos vaksinasi kepada penduduk Lembah Klang.

 

Katanya, beliau sempat melawat PPV Mega pertama di negara ini sewaktu mula dibuka pada bulan Mei lepas dan kagum dengan proses vaksinasi yang lancar dan teratur walaupun dibuat pada skala besar.

 

“Walaupun pembukaan PPV Mega pada mulanya dikritik oleh sesetengah pihak, namun kerajaan di bawah kepemimpinan beliau pada masa itu memutuskan untuk mewujudkan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) di bawah Khairy Jamaluddin and Datuk Seri Dr Adham Baba bagi memastikan vaksinasi dapat diberikan secepat mungkin kepada seramai mungkin populasi di Malaysi,” katanya.

 

Beliau berkata, berkat usaha semua pihak terutama di PPV mega tersebut, populasi dewasa di Lembah Klang telah berjaya divaksinasi lebih awal dari jangkaan.

 

Katanya, walaupun negara telah berjaya mencapai objektifnya mengawal penularan COVID-19 hingga membolehkan rakyat menjalankan aktiviti sosial dan ekonomi, langkah berjaga-jaga haru diambil bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan selamat dan teratur selaras dengan hasrat Pelan Pemulihan Negara. – DagangNews.com