Kekurangan polimer di Asia dan Eropah belum dimanfaatkan lagi - Firma | DagangNews Skip to main content

Kekurangan polimer di Asia dan Eropah belum dimanfaatkan lagi - Firma

 

 

KUALA LUMPUR 27 April - Harga polimer Asia pada April kekal menyederhana tetapi secara keseluruhan masih kekal tinggi, menurut CGS-CIMB dalam nota kajian hari ini. 

 

Malah, katanya, spread berbanding naptha juga kekal tinggi ekoran kelemahan harga naptha.

 

Menurut firma itu, pasaran eksport polimer di Asia ke Amerika Syarikat (AS) telah meningkat tetapi dengan kesesakan pelabuhan di Los Angeles/Long Beach, penghantaran mengambil masa antara 30 dan 45 hari.

 

"Berbeza dengan kenaikan harga di AS dan Eropah, Asian polyethylene (PE) dan polypropylene (PP) adalah 4 hingga 7% lebih lemah pada April berbanding Mac. 

 

"Ini disebabkan berlalunya musim puncak di China dan keengganan membeli polimer pada harga tinggi melebihi kadar keperluan," katanya dalam nota kajian hari ini.  

 

CGS-CIMB berkata, pengeksport Asia belum mememanfaatkan sepenuhnya kekurangan polimer di AS dan Eropah disebabkan kekurangan kotak kontena dan kadar penghantaran kontena yang tinggi.

 

"Berikutan pasaran di AS dan Eropah yang kebanyakannya berasaskan kepada kontrak pembekalan daripada penjual, yang terlibat dalam logistik tempatan," katanya.

 

Jelas firma itu, IHS Markit menjangkakan harga polimer Asia akan meningkat pada suku kedua tahun ini yang akan memberi manfaat kepada pendapatan Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) dan Lotte Chemical Titan Holding Bhd (LCT). 

 

Bagi sektor petrokomia tempatan, firma itu berkata, pemangkin utama antara lain didorong oleh prestasi kukuh yang dicatatkan PCG) dan LCT. 

 

Bagi tahun kewangan 2021, keuntungan bersih PCG dan LCT ini masing-masing diunjur meningkat 33% dan 55% melepasi konsensus. 

 

CGS-CIMB mengulangi saranan 'overweight' ke atas sektor petrokimia Malaysia dengan saranan 'tambah' bagi PCG dan LCT. - DagangNews.com