Kelewatan siapkan kolam selam tempur GGK beri impak negatif pada projek Mindef, kebolehan kontraktor tempatan | DagangNews Skip to main content

Kelewatan siapkan kolam selam tempur GGK beri impak negatif pada projek Mindef, kebolehan kontraktor tempatan

Kompleks kolam selam tempur Kem Iskandar Mersing yang belum siap.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

KELEWATAN pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing, Johor menambah satu lagi isu dalam beberapa siri masalah yang dihadapi membabitkan kontrak dengan Kementerian Pertahanan (Mindef).

 

Projek tersebut di bawah kelolaan Bahagian Pembangunan Kementerian Pertahanan dan agensi pelaksana adalah Jabatan Kerja Raya (JKR). 

 

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kelmarin menitahkan pihak yang bertanggungjawab membina kolam selam tempur berkenaan memberi penjelasan berhubung punca kelewatan pembinaannya.

 

Sultan Ibrahim yang juga Kolonel Komandan Gerup Gerak Khas (GGK) bertitah, kolam tersebut yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, sehingga kini masih dalam pembinaan.

 

 

 

 

Kolam
Sultan Ibrahim melihat replika bangunan menempatkan kolam selam tempur di Kem Iskandar semasa merasmikan majlis pecah tanah projek tersebut pada Mei 2018.

 

Perkara ini sudah pasti memberi impak negatif kepada Mindef yang ketika ini bergelut untuk menyiapkan projek kapal tempur pesisir (LCS), manakala terbaru ialah kelewatan menerima helikopter Sikorsky UH-60A Black Hawk.

 

Difahamkan, kelewatan pembinaan kolam selam tempur itu telah melebihi 647 hari walaupun proses menyiapkan kemudahan berkenaan hanya berbaki 3 peratus sahaja untuk dilengkapkan.

 

Antara kerja-kerja akhir ini perlu disiapkan ialah menyelesaikan pemasangan jubin pada kolam yang dikatakan sebagai punca kelewatan pembinaannya.

 

Jika dilihat pada atas kertas, baki 3 peratus kerja-kerja akhir tersebut nampak kecil sebaliknya tanpa menyiapkan pemasangan jubin maka kolam selam tempur berkenaan tidak akan siap.

 

Perlu difahami ini bukan pembinaan sebuah kolam renang untuk rumah kediaman ataupun kompleks renang awam, sebaliknya satu kemudahan untuk latihan ketenteraan.

 

Kolam
Kegagalan melengkapkan baki 3 peratus pembinaan menyebabkan projek kolam selam tempur ini tertunda.

 

Kolam

 

Ia mengalami kelewatan selepas enam kali diberi pelanjutan tempoh termasuk yang terbaharu pada 14 April lalu.

 

Projek itu juga tertunda sejak 2020 susulan beberapa isu, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini.

 

Disebabkan kelewatan ini ia menjejaskan keupayaan GGK dalam menjalani latihan bagi meningkatkan kecekapan pasukan berkenaan.

 

GGK sebagai pasukan elit Tentera Darat seharusnya tidak berdepan dengan masalah sedemikian kerana peranannya adalah kritikal dalam melindungi pertahanan negara.

 

Pasukan ini mempunyai tiga formasi mengikut kepakaran tempur masing-masing iaitu Rejimen 11 Komando, Rejimen 21 Komando dan Rejimen 22 Komando.

 

Kolam
Anggota selam tempur GGK atau frogman melakukan latihan pada waktu malam.

 

Kolam

 

Pembinaan kolam selam tempur ini dimulakan pada Mei 2018 di kawasan seluas 2,787 meter persegi dalam kawasan Kem Iskandar dan dijangka siap dalam tempoh setahun.

 

Lokasi dipilih bersesuaian dengan penempatan rejimen di sini iaitu Rejimen 22 Komando yang dikhususkan bagi memiliki kemahiran tinggi dalam operasi perairan.

 

Sejak mula beroperasi pada tahun 2005, Kem Iskandar tidak mempunyai kemudahan latihan kepakaran air dan udara.

 

Antara dua aspek kemudahan itu, aspek kemudahan kepakaran dalam air menjadi keutamaan kepada GGK, justeru kemudahan kolam selam tempur ini amat penting.

 

Ketiadaan kolam selam tempur menyebabkan GGK sukar melatih dan melahirkan anggota baharu yang mempunyai kemahiran selaman, kepakaran letupan di bawah air (underwater demolition) dan perenang tempur.

 

Kolam
Pasukan GGK tidak sepatutnya berdepan dengan kelewatan menyiapkan kolam selam tempur yang mana ia menjejaskan latihan.

 

Risiko dan kos melatih anggota di kawasan perairan terbuka lebih tinggi berbanding melatih di dalam kolam selam tempur yang boleh dikawal serta diselia jurulatih sedia ada.

 

Sebab itulah kelewatan menyiapkan kolam selam tempur ini bukan perkara kecil yang boleh dipandang sebelah mata.

 

Sekiranya keupayaan kontraktor atau sub kontraktor yang dilantik menjadi isu atau masalah pada agensi kerajaan sendiri iaitu JKR, kemudahan hampir serupa di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut menceritakan sebaliknya.

 

Sebagai perbandingan, pembinaan Pusat Latihan Pasukan Khas Laut (Paskal) TLDM berjaya disiap dan dirasmikan pada tahun 2018.

 

Kolam
Anggota Paskal semasa berlatih di kolam selam tempur di Lumut.

 

Kolam
Geladak pendaratan helikopter sepertimana model sebuah pelantar minyak di kolam selam tempur Paskal.

 

Pusat latihan ini mula dibina pada 14 April 2015 oleh sebuah syarikat tempatan dengan kos RM 24 juta

 

Antara prasarana yang dibina dalam kompleks pusat latihan Paskal ini ialah sebuah kolam selam tempur dengan model pelantar minyak dan menara.

 

Ini juga merupakan satu-satunya kemudahan latihan komando di rantau ini yang mempunyai model pelantar minyak khusus untuk melaksanakan latihan maritim dan antisabotaj. - DagangNews.com