Keluarga Malaysia bukan retorik atau slogan semata-mata, tetapi memelihara kepentingan rakyat - PM | DagangNews Skip to main content

Keluarga Malaysia bukan retorik atau slogan semata-mata, tetapi memelihara kepentingan rakyat - PM

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

 

KUCHING 23 Okt – Idea Keluarga Malaysia yang diilhamkan oleh kerajaan hari ini bukan retorik atau slogan semata-mata, tetapi ia merupakan semangat yang diterapkan kerajaan dalam pentadbiran negara – di mana kepentingan dan kesejahteraan rakyat dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Keluarga Malaysia seperti golongan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik, akan terus diberi fokus dan keutamaan dalam mendapat manfaat bantuan-bantuan kerajaan.

 

Sejajar dengan ini kata beliau, pembangunan sosio ekonomi negara, di negeri-negeri yang kurang membangun akan terus diberi keutamaan.

 

Menurutnya, Sarawak merupakan antara 6 negeri selain Sabah, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang diberi tumpuan khusus bagi merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, wilayah, bandar dan luar bandar, agar kemakmuran ekonomi dinikmati secara adil dan saksama.

 

Bagi tujuan ini kata Perdana Menteri, sekurang-kurangnya 50% daripada keseluruhan peruntukan pembangunan asas persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), akan diagihkan kepada 6 negeri ini, melibatkan penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi.

 

Katanya, pendekatan yang sama juga akan menjadi intipati Bajet 2022 yang akan dibentangkan pada minggu hadapan.

 

‘’Dalam merealisasikan matlamat Keluarga Malaysia yang menekankan nilai-nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran, kerajaan akan memantau secara dekat pelaksanaan program dan inisiatif yang dirancang, khususnya Sabah dan Sarawak, dalam usaha memastikan kita sama-sama membangun sebagai sebuah Keluarga Malaysia,’’ kata beliau.

 

Perdana Menteri berkata demikian pada majlis pelancaran Keluarga Malaysia di sini malam ini.

 

Yang turut hadir Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

 

 

PM

 

 

Ismail Sabri berkata, hampir 2 tahun mendepani pandemik COVID-19, semua dapat melihat kebersamaan petugas barisan hadapan, syarikat-syarikat milik kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bahkan individu Keluarga Malaysia berganding bahu membantu kerajaan memerangi pandemik.

 

‘’Yang asing saling tak kenal, tidak kekok menghulur bantuan. Yang berbeza tidak melihat warna untuk memberi makan. Bahkan yang lawan, bersama menyubur semangat kekeluargaan. Di sebalik kepayahan pandemik, inilah semangat yang menyatukan Keluarga Malaysia, umpama ‘batang manau, seribu kali embat pasti tak putus’.

 

‘’Lantaran itu, Keluarga Malaysia adalah manifestasi paling andal sebagai panduan untuk kita memulihkan negara. Toklah keluarga kita yang idup aman dan sejahtera. Kita semua tok Keluarga Malaysia,’’ katanya menggunakan loghat bahasa Melayu Sarawak.

 

 

keluarga msia

 

 

Menurutnya, pelbagai program dan inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan di bawah payung Keluarga Malaysia. Ini termasuklah Rumah Ikram Keluarga Malaysia, Skuad Keluarga Malaysia, Pakej Peranti Keluarga Malaysia, Pakej Penjagaan COVID-19 Keluarga Malaysia, Keluarga Malaysia Siaga Bencana, Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia dan Residensi Rumah Keluarga Malaysia.

 

‘’Inilah program dan inisiatif Keluarga Malaysia, di mana setiap kementerian akan memperkenalkan sekurang-kurangnya 1 program dan inisiatif yang bermatlamat membantu mengurangkan kesan ekonomi yang ditanggung rakyat. Saya berharap ia turut disokong oleh kerajaan negeri,’’ ujar beliau.

 

Ismail Sabri berkata, kerajaan hari ini yang bekerja dalam semangat sebuah keluarga, akan terus konsisten memberi tumpuan kepada program serta inisiatif yang melimpahkan kesejahteraan dan manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia.

 

 

keluarga msia

 

 

‘’Bagi memantau pelaksanaan konsep Keluarga Malaysia, Keberhasilan Kebahagiaan atau Key Happiness Outcome (KHO) telah diperkenalkan bagi melengkapi Petunjuk Prestasi Utama (atau KPI).

 

‘’KHO dan KPI ini menjadi komitmen dan kesungguhan kerajaan, untuk membawa negara keluar daripada kelelahan pandemik.

 

‘’Bahkan, ia akan memperbaiki kedudukan negara dalam carta Indeks Kebahagiaan Dunia atau World Happiness Report di mana kita kini berada di kedudukan ke-81 pada tahun 2021,’’ kata Perdana Menteri. – DagangNews.com