Kemelut politik : KLCI akhiri dagangan lemah, ringgit kembali mengukuh | DagangNews Skip to main content

Kemelut politik : KLCI akhiri dagangan lemah, ringgit kembali mengukuh

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Di sebalik meruncingnya kemelut politik hari ini, bursa tempatan melepasi paras 1,500 mata meskipun mengakhiri dagangan lemah. 

 

Situasi politik bagai tiada noktah lagi selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatannya yang mana kini tertumpu kepada siapa pengganti beliau.

 

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin dan seluruh jemaah menteri berkuat kuasa serta merta.

 

Beliau bagaimanapun akan menjalankan tugas sebagai 'caretaker' sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

 

Petang ini, indeks utama FBM KLCI berakhir pada 1,502.90 mata setelah menyusut 2.21 mata atau 0.15% dengan 4.88 bilion saham bertukar tangan bernilai RM2.37 bilion. 

 

Keseluruhan pasaran juga negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 633 berbanding 377 manakala 421 kaunter tidak berubah dan 779 kaunter tidak diniagakan. 

 

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata, kelemahan bursa tempatan bagaimanapun menjejaki pasaran rantau Asia yang lain seperti Korea Selatan, Jepun dan Hong Kong ekoran data China yang lemah di luar jangkaan. 

 

Selain itu, katanya, kebimbangan terhadap penularan varian Delta akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi juga memberi kesan kepada sentimen pasaran. 

 

"Di Malaysia pula, dengan peletakan jawatannya menimbulkan persoalan siapakah yang akan dilantik seterusnya.

 

"Oleh itu, pelabur akan dilihat kekal 'berdiam diri' sehingga perkara itu diumumkan kelak di tengah-tengah ketidaktentuan situasi ketika ini," katanya.

 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Hartalaga Holdings Bhd. susut 28 sen atau 3.9% kepada RM6.85 manakala Sime Darby Plantation Bhd. mengukuh 12 sen atau 3.4% kepada RM3.63.

 

Ini menjadikan indeks penjagaan kesihatan Bursa Malaysia menyusut sehingga 0.9% dalam kalangan indeks sektor.

 

Dagangan kaunter aktif menyaksikan saham Avillion Bhd. paling rancak diniagakan sepanjang hari dengan menokok 2 sen atau 10.53% kepada 21 sen. 

 

Ia menyaksikan 654.4 juta saham diniagakan ketika ditutup petang ini, setelah volum dagangan meningkat lebih 500 juta ketika dagangan berakhir tengah hari berbanding Jumaat, 62.97 juta. 

 

Ini kerana para pelabur melihat sentimen positif terhadap saham syarikat pengendali perhotelan ini susulan kelonggaran yang diumumkan bagi negeri yang beralih kepada fasa kedua di bawah Pelan Pemulihan Negara. 

 

Selain itu, saham Advance Synergy Bhd. juga diniagakan aktif meningkat 0.05 sen kepada 17.5 sen diikuti KNM Group Bhd. naik 1 sen kepada 22 sen.

 

Saham PIE Industrial Bhd. pula mendahului kaunter untung dengan 1.87 juta saham diniagakan. Harga sahamnya ditutup 32 sen lebih tinggi kepada RM3.45. 

 

Kaunter untung turut didahului dengan saham Rapid Synergy Bhd. menokok 32 sen kepada RM8.10 dan Heineken Malaysia Bhd. naik 30 sen kepada RM22.38.

 

Sebaliknya, Kuala Lumpur Kepong (KLK) Bhd. berakhir rendah dengan susut 60 sen kepada RM19.58 diikuti Sam Engineering & Equipment (M) Bhd. susut 60 sen kepada RM13.70. 

 

Sementara itu, bagi pasaran kewangan, petang ini ringgit ditutup pada RM4.2340/2380 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih tinggi berbanding penutupan Jumaat, RM4.2365/2385.

 

Menurut Adam, kelonggaran yang diberikan kepada penerima vaksin lengkap dilihat membataskan tekanan yang disebabkan perkembangan politik Malaysia. 

 

"Bagaimanapun, pergerakan ringgit masih terhad kerana pelabur masih menunggu sehingga pengumuman mengenai lantikan baharu Perdana Menteri dibuat," katanya. 

 

Reuters hari ini melaporkan ringgit jatuh ke paras setahun terendah pada RM4.2430 berbanding dolar AS disebabkan pergelutan politik dan spekulasi peletakan jawatan Perdana Menteri. - DagangNews.com