KUALA LUMPUR 7 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua kementerian dan agensi sudah mengambil langkah sewajarnya dalam memastikan keselamatan orang ramai ekoran banjir kilat yang melanda Kuala Lumpur sebentar tadi.
Beliau berkata, enam kawasan di pusat bandar Kuala Lumpur dilanda banjir kilat dan dinaiki air.
“Kementerian dan agensi telah mengambil langkah segera bagi memastikan keselamatan Keluarga Malaysia.
“Elak melalui kawasan banjir kilat dan berhati-hati memandu sewaktu hujan,” katanya menerusi laman Twitternya hari ini.
Antara kawasan yang terjejas ialah Jalan Sultan Ismail-Jalan Ampang, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Raja Laut, Jalan Kia Peng, Jalan Yap Kwan Seng dan Kampung Periuk berhampiran Dang Wangi.
Dalam perkembangan sama, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil tindakan menutup bekalan elektrik di beberapa pencawang bagi memastikan keselamatan para pengguna termasuk di Royal Cendana, Bukit Aman, Class G Qrt, PDRM Bukit Aman, Hospital Tang Lindan tempat letak kenderaan Jalan Tanglin.
Kawasan lain yang terlibat termasuk Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Jalan Kebun Bunga, Jalan Young Stat, Pejabat Perancang Selangor, Banyan Tree Signature Jalan Conlay, Amphitheater, The Royale Chulan, Pangsapuri Sri Jati, Kompleks Budaya Kraf, Restoran Sri Melayu, Rest Hotel Jalan Jati dan Hotel Westin.
BACA JUGA: KL dilanda banjir kilat lagi, ribuan warga kota terperangkap, kereta tenggelam
Turut ditutup pencawang di Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Menara Worldwide, Menara Keck Seng, Kelab Golf Diraja Selangor, RHB, Wisma Inai, Bintang Goldhill, The Forum, Bukit Bintang, Hotel Ritz Carlton, Istana Johor Persiaran Stonor, The Pearl, Dua Residency, Conlay Court, The Ascott 36. Menara Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Suria Stonor, Mni Tower, Hotel Impiana KLCC dan Lot 170 Jalan Perak.
"Usaha-usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.
"Sekiranya banjir semakin bertambah buruk dan membahayakan keadaan, penutupan bekalan akan dilakukan di pencawang elektrik yang terlibat bagi memastikan keselamatan pengguna setempat," katanya. - DagangNews.com