Kementerian kemas kini senarai sekolah yang belum dibuka akibat banjir setiap Rabu | DagangNews Skip to main content

Kementerian kemas kini senarai sekolah yang belum dibuka akibat banjir setiap Rabu


Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Jan - Kementerian Pedidikan Malaysia (KPM) akan mengemas kini senarai sekolah yang masih belum dibuka susulan terkesan akibat bencana banjir pada setiap Rabu.

 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, senarai itu dibuat bagi membolehkan sekolah yang terlibat untuk kembali beroperasi pada minggu akan datang sekiranya sudah bersedia.

 

“Setiap Rabu kita akan mengemas kini senarai tersebut, apabila sekolah itu keluar daripada senarai, maknanya pada Ahad atau Isnin (minggu seterusnya) boleh dibuka bergantung sama ada mereka berada dalam kumpulan A atau B.

 

“Namun pada masa sama, keadaan dan situasi banjir ini amat dinamik. Sesebuah sekolah itu boleh dibuka, tiba-tiba air naik dan itu secara automatik (sekolah ditutup)… dan tindakan awal akan diambil khususnya untuk maklumkan pada ibu bapa (berhubung penutupan sekolah),” katanya, hari ini, selepas meninjau Sekolah Kebangsaan (SK) Meru, Kapar sempena pengoperasian sekolah bagi penggal ketiga, 2021/2022, lapor Bernama.

 

Dalam pada itu, beliau berkata empat  juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara memulakan sesi persekolahan bagi penggal ketiga, 2021/2022 melibatkan 1.2 juta pelajar daripada kumpulan A yang memulakan sesi persekolahan semalam manakala 2.8 juta pelajar membabitkan kumpulan B, hari ini.

 

Radzi berkata bagi Selangor, seramai 473,816 pelajar seluruh negeri itu memulakan persekolahan melibatkan 264,201 pelajar sekolah rendah manakala 446,816 merupakan murid sekolah rendah termasuk prasekolah.

 

Sementera itu, beliau meminta Jabatan Pendidikan Negeri dan PPD untuk memastikan perabot dan peralatan mencukupi di SK Meru kerana sekolah itu merupakan antara yang paling teruk terjejas akibat banjir.

 

“Kalau ada perabot tidak mencukupi, kita akan bawa perabot-perabot berlebihan daripada sekolah lain, atau dari negeri lain,” katanya.  

 

Mengenai sistem pengurusan pertukaran dan penempatan guru (e-GTukar) baharu yang didakwa meletakkan pilihan pertukaran tempat terhad, Radzi berkata pihaknya akan sentiasa menambah baik sistem tersebut untuk membolehkan ia berada di tahap optimum di samping lebih memudahkan mereka terlibat. 

 

“Kita akan sentiasa tambah baik sistem tersebut, sebagaimana sistem baharu yang mana kita akan terima pandangan dan akan kaji untuk melihat pendekatan yang boleh digunakan untuk pembaikan sistem tersebut.

 

“Kita ambil kira pandangan bila kata (guru) diberi pilihan tiga negeri (bagi pertukaran melibatkan negeri) maka mereka terpaksa pilih tiga negeri sedangkan mereka hanya ingin pindah satu negeri. Begitu juga melibatkan perpindahan melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sebagainya,” kata beliau. - DagangNews.com