Kementerian Kerja Raya pastikan harga RM35 bagi RFID munasabah | DagangNews Skip to main content

Kementerian Kerja Raya pastikan harga RM35 bagi RFID munasabah

 

KUALA LUMPUR 20 Dis - Pelaksanaan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) ditanggung oleh pemain industri tanpa perbelanjaan kerajaan, namun Kementerian Kerja Raya (KKR) telah memastikan agar harga yang dikenakan adalah munasabah.

 

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, pada masa ini harga RFID dijual oleh Touch 'n Go sebanyak RM35 dan jauh lebih murah berbanding SmartTAG yang berharga RM120 sebuah.

 

''Pada masa sama kita masih lagi mengkaji beberapa kaedah untuk memberikan insentif tambahan seperti pembeli kereta baharu supaya RFID akan dipasang dalam kereta tersebut," katanya dalam sesi soal jawab persidangan Dewan Negara, di sini hari ini.

 

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Aknan Ehtook mengenai perancangan kementerian itu berhubung penggunaan RFID.

 

Beliau berkata, KKR menyasarkan 60% penggunaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bagi pembayaran tol pada akhir 2022, Dewan Negara diberitahu hari ini.

 

``Penggunaan kad Touch 'n Go dan SmartTAG mungkin akan diberhentikan pada penghujung 2023.

 

"Kita memahami kebimbangan yang disuarakan semua pengguna lebuh raya dan ingin dijelaskan bahawa buat masa ini, lorong kad Touch 'n Go serta SmartTAG tetap beroperasi di semua lebuh raya.

 

''Dan ia hanya akan diberhentikan secara berperingkat, mengambil kira kepada kadar penggunaan RFID dan kesediaan lorong RFID,'' kata beliau.

 

ARTIKEL BERKAITAN: PLUS: Pembayaran tol guna Touch N Go dan SmartTag masih kekal

 

Transaksi guna RFID di seluruh lebuh raya Pantai Barat mulai 15 Januari 2021

 

Selain itu, Arthur menjelaskan kos RFID adalah jauh lebih murah berbanding Touch 'n Go serta SmartTAG, selain tidak mempunyai kos penyenggaraan seperti menggantikan bateri sebagaimana penggunaan SmartTAG serta mempunyai kemudahan menambah nilai secara dalam talian.

 

"Di lorong RFID, kita boleh mendapat laluan sebanyak 1,000 kenderaan sejam, tetapi Touch 'n Go hanya 550 kenderaan sejam sahaja, bermakna teknologi (RFID) ini memang boleh bantu mengurangkan masalah kesesakan di plaza tol.


 

Datuk Arthur Joseph Kurup
Datuk Arthur Joseph Kurup

 


Arthur berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Seruandi Saad sama ada kerajaan berhasrat memberikan pemasangan percuma atau subsidi kepada
pengguna yang beralih dari Touch 'n Go dan SmartTAG kepada RFID bagi mengurangkan beban kos yang ditanggung pengguna. - DagangNews.com