Kementerian Pengangkutan, MAVCOM rangka KPI prestasi tepat masa syarikat penerbangan domestik | DagangNews Skip to main content

Kementerian Pengangkutan, MAVCOM rangka KPI prestasi tepat masa syarikat penerbangan domestik

KUALA LUMPUR 16 Nov - Kementerian Pengangkutan menerusi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) kini sedang merangka petunjuk prestasi utama (KPI) bagi memastikan syarikat penerbangan domestik memenuhi dan melebihi sasaran prestasi tepat masa mereka.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata langkah sewajarnya akan diambil melalui KPI berkenaan jika syarikat penerbangan domestik gagal mematuhi Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC), yang mengawal selia pembatalan penerbangan, bayaran balik dan penangguhan.

 

Bagaimanapun, katanya, pelbagai faktor turut perlu diambil kira kerana kegagalan untuk mencapai prestasi tepat masa adalah di luar kawalan syarikat penerbangan, seperti keadaan cuaca.

 

“Dari segi menambah baik dan meningkatkan prestasi tepat masa, MAVCOM akan mengambil tindakan sekiranya syarikat penerbangan tempatan gagal mematuhi MACPC.

 

“Kami akan mencari pendekatan untuk menetapkan sasaran prestasi tepat masa dan langkah sewajarnya diambil sekiranya mereka tidak dapat mencapai sasaran ini.

 

"Walaupun saya bersetuju bahawa terdapat banyak aspek yang memerlukan penambahbaikan, adalah penting untuk mempertimbangkan bahawa kelewatan penerbangan dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan terdapat perkara di luar kawalan syarikat penerbangan," katanya semasa sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) sama ada syarikat penerbangan tempatan akan menghadapi tindakan tatatertib berhubung kelewatan penerbangan.

 

Loke menambah bahawa MAVCOM juga dijangka mengeluarkan KPI tersebut menjelang suku pertama tahun depan.

 

Beliau juga berkata badan kawal selia bagi industri penerbangan itu juga sedang meneroka pembentukan peratusan pembatalan penerbangan domestik.

 

Sementara itu, dari segi prestasi tepat masa bagi penerbangan domestik, Loke berkata prestasi syarikat penerbangan tempatan turun tiga mata pada suku ketiga tahun ini, berbanding suku sebelumnya.

 

"Syarikat penerbangan tempatan mencatatkan prestasi tepat masa 79% pada suku ketiga 2023, berbanding 82% pada suku kedua.

 

"Daripada jumlah berkenaan, SKS Airways mencatatkan prestasi tepat masa 95%, diikuti MASwings (93%), Batik Air Malaysia (82%) dan Firefly (77%),” katanya.  - DagangNews.com