KUALA LUMPUR 7 Feb - Kementerian Sumber Manusia menerima kira-kira 7,500 permohonan mendapatkan pekerja warga asing bagi sektor perladangan kelapa sawit secara pengecualian khas sejak 28 Januari hingga Jumaat lepas.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, terdapat permohonan yang tidak dapat dipertimbangkan kerana permohonan daripada majikan tidak layak menggajikan pekerja warga asing, iaitu syarikat koperasi dan syarikat outsourcing.
"Saya ingin mengingatkan semua majikan bahawa semua permohonan perlulah diisi sendiri majikan dan tidak menggunakan khidmat mana-mana agensi pekerjaan swasta.
"Perkhidmatan agensi pekerjaan swasta hanyalah sebagai pemudah cara dan tidak boleh membuat permohonan penggajian pekerja warga asing bagi pihak majikan," katanya dalam satu kenyataan.
M. Saravanan turut memaklumkan, kementerian turut menerima permohonan daripada majikan dalam sektor lain yang mana permohonan cuma akan dibuka mulai 15 Februari ini. - DagangNews.com