Kempen Boikot: Dilema kemanusiaan atau pengukuhan ekonomi | DagangNews Skip to main content

Kempen Boikot: Dilema kemanusiaan atau pengukuhan ekonomi

Oleh Dr Chakrin Utit

KEMPEN boikot yang menyasarkan syarikat dan produk yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel merupakan tindak balas kemanusiaan kepada konflik ketegangan yang bagai tiada kesudahan. Walaupun kempen ini cuma digerakkan oleh sebahagian ahli masyarakat, namun impaknya tetap ketara.

 

Kini, kempen boikot yang berterusan dilihat telah mewujudkan situasi dilema. Dari satu sudut, kempen ini perlu diteruskan sebagai peringatan kepada kegagalan pertubuhan peringkat antarabangsa untuk menamatkan konflik Palestin-Israel.

 

Namun, dari sudut lain, kempen yang berterusan akan membawa kepada gangguan dalam sistem ekonomi.

 

Situasi gangguan sistem ekonomi wujud disebabkan ekonomi merupakan satu sistem interaksi yang menghubungkan komponen di sisi penawaran dan permintaan. Dalam konteks kempen boikot, pengurangan aktiviti kepenggunaan akan membawa kepada kejatuhan mendadak permintaan dan menyebabkan ketidakseimbangan pasaran.


 

Dr Chakrin Utit
       Dr CHAKRIN UTIT

 


Lantaran itu, keuntungan syarikat berkaitan akan menurun, dan keadaan ini akan memberikan kesan langsung kepada golongan pekerja dalam organisasi tersebut. Kesan tidak langsung pula akan dirasai oleh golongan pekerja gig yang menyediakan perkhidmatan seperti penghantaran makanan.

 

Di sebalik keadaan konflik Palestin-Israel kini memasuki fasa gencatan senjata, namun masih tiada jawapan kepada titik pengakhirannya. Ini bermaksud, kempen yang dijayakan oleh sebahagian golongan masyarakat akan diteruskan. Oleh itu, impak ekonomi juga dijangka semakin ketara disebabkan situasi permintaan yang kekal lemah.

 

Melihat daripada perspektif pembangunan ekonomi, situasi ini perlu diatasi melalui manipulasi kesan penggantian dengan mengalihkan aktiviti kepenggunaan kepada barangan dan perkhidmatan alternatif.

 

Sebagai contoh, sekiranya kempen boikot disasarkan kepada Syarikat A. Oleh itu, pengguna boleh mengalihkan permintaan kepada Syarikat B yang turut menyediakan produk serupa.

 

Tetapi sekiranya struktur pasaran bagi sesuatu produk cuma didominasi oleh beberapa syarikat yang diboikot, pertumbuhan syarikat tempatan yang menyediakan produk serupa perlu disokong dan diberikan galakan bagi mewujudkan struktur pasaran yang lebih kompetitif dalam jangka panjang. Dengan itu, gangguan dalam sistem ekonomi disebabkan kempen boikot yang berterusan akan dapat dikurangkan.

 

Selain daripada membuka mata kepada situasi dominasi beberapa syarikat dalam pasaran sesuatu produk, kempen boikot juga mengukuhkan lagi keperluan kepada usaha pengformalan perniagaan yang tidak berdaftar. Kebanyakan aktiviti perniagaan tidak berdaftar merupakan aktiviti perniagaan kecil-kecilan, menyebabkan tidak banyak peluang pekerjaan boleh dicipta.

 

Dengan menggalakkan proses penformalan, banyak aktiviti perniagaan boleh dikembangkan disebabkan akses yang lebih meluas kepada pelbagai kemudahan kewangan dan kemudahan lain.

 

Mengambil contoh Belanjawan 2024, lebih daripada RM2 bilion skim kredit mikro disediakan kepada golongan usahawan kecil, dan sekiranya perniagaan mereka boleh terus berkembang sebagai perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kemudahan kewangan yang lebih meluas akan dapat diakses.

 

Melalui galakan penformalan, sekurangnya-kurangnya kesan penggantian akan memainkan peranan untuk menstabilkan gangguan ekonomi sekiranya kempen boikot masih diteruskan dalam jangka panjang.

 

Di samping itu, lebih banyak peluang pekerjaan akan dapat diwujudkan dan memudahkan peralihan kerja bagi golongan pekerja yang terkesan. Oleh itu, situasi dilema akan dapat diatasi.

 

Kempen boikot yang berlangsung sebenarnya turut menunjukkan kuasa pengguna dalam ekonomi negara. Seharusnya kuasa ini turut digunakan bagi mewujudkan keadaan pasaran yang lebih baik bagi memastikan sesuatu produk dipasarkan pada tingkat harga yang berpatutan dan berkualiti tinggi. - DagangNews.com

 

Dr Chakrin Utit adalah Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, UPM