Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Nov - Cadbury Dairy Milk mengajak rakyat Malaysia untuk menyokong komuniti setempat menerusi inisiatif bertemakan #MYCadburyFlavours pada bulan September lepas.
Ketua Pemasaran Mondelez International Malaysia dan Singapura, Arpan Sur berkata, kempen tersebut menggalakkan rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyokong peniaga kuih kegemaran mereka dalam situasi yang mencabar ini dan telah menerima lebih 600 penyertaan di seluruh negara.
Ujarnya, kempen #MYCadburyFlavours telah diinspirasikan bagi mengetengahkan keistimewaan rasa tempatan, dan Cadbury Dairy Milk telah mengenal pasti peniaga-peniaga kuih sebagai komuniti yang memerlukan bantuan dalam pandemik ini.
"Menyedari hakikat ini, Cadbury Malaysia berazam untuk membantu golongan tersebut dengan mengetengahkan perniagaan mereka menerusi inisiatif #MYCadburyFlavours.
"Hasil daripada cadangan yang diterima dari komuniti dalam talian menggunakan tanda pagar #MYCadburyFlavours, Cadbury Malaysia melaksanakan usaha untuk mempromosikan perniagaan para peniaga kecil menerusi iklan berbayar di laman media sosial," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, peniaga kuih tempatan adalah sumber inspirasi di sebalik perasa baru Cadbury Dairy Milk Pandan Coconut yang dilancarkan baru-baru ini.
"Cadbury Dairy Milk Pandan Coconut menyerlahkan aroma pandan dan kelapa yang merupakan ramuan utama pelbagai kuih-muih tempatan yang digemari oleh rakyat Malaysia. Ianya merupakan varian edisi terhad tempatan yang ketiga oleh Cadbury Malaysia, susulan sambutan hangat ke atas Cadbury Dairy Milk Kopi-C dan Cadbury Dairy Milk Durian pada tahun lalu," katanya.
Hasil sokongan dan penyertaan rakyat Malaysia di seluruh negara, kempen #MYCadburyFlavours telah berjaya mencapai kira-kira 16 juta rakyat melalui Facebook dan Instagram, dan 14 juta melalui YouTube, dengan lebih 205 juta impresi merangkumi ketiga-tiga platform tersebut dan manampilkan 58 gerai. -DagangNews.Com