Kempen Solidarity with Our Community Alliance edar lebih 1,300 kotak makanan | DagangNews Skip to main content

Kempen Solidarity with Our Community Alliance edar lebih 1,300 kotak makanan

Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank) baru-baru ini berjaya mengumpulkan dana menerusi kempen Solidarity with Our Community untuk menyediakan lebih daripada 1,300 kotak makanan dan barangan keperluan kepada komuniti yang terjejas.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim berkata kempen tersebut menyaksikan para pekerja dan pihak pengurusan Alliance Bank bersama rakyat Malaysia bekerjasama untuk mengumpulkan dana dan membantu masyarakat tempatan yang terjejas akibat pandemik. 

 

Ujarnya, Alliance Bank telah memadankan usaha pengumpulan dana dengan menyediakan padanan 2 kepada 1 bagi setiap ringgit yang didermakan dan dana tersebut telah dikumpul melalui SocioBiz, sebuah platform pengumpulan dana sosial Alliance Islamic Bank yang patuh syariah.

 

“Sebagai sebuah bank, kami adalah sebahagian daripada komuniti di mana-mana kami beroperasi. Kami mempunyai peranan penting untuk memupuk kesejahteraan dan memelihara insan dan masyarakat. 

 

"Di masa ini, ketika ada di antara kita yang berhempas pulas untuk memenuhi keperluan, kita perlu bersatu sebagai sebuah komuniti untuk melakukan apa yang terdaya bagi meringankan beban mereka yang terkesan. 

 

"Atas dasar itulah, Alliance Bank akan padankan setiap ringgit yang didermakan orang ramai melalui kempen Solidarity with Our Community dengan derma dari bank kami sebanyak RM2," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, Alliance Bank telah bekerjasama dengan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) untuk mengenal pasti mereka yang terjejas akibat pandemik dan individu yang sangat memerlukan pertolongan. 

 

Katanya, para penerima sumbangan terdiri daripada kumpulan masyarakat dalam kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR), segmen B40 dan pertubuhan-pertubuhan seperti Persatuan Orang Buta Malaysia dan Persatuan Ibu Tunggal.

 

"Kotak-kotak makanan yang disumbangkan disesuaikan mengikut keperluan penerima. Kotak makanan asas bernilai RM100 mengandungi pelbagai barangan makanan kering yang dianggarkan mencukupi keperluan sebuah keluarga empat orang untuk lebih kurang sebulan. 

 

"Keluarga yang memiliki anak kecil akan menerima susu rumusan manakala warga tua menerima makanan sedia dimakan dan mudah sedia di dalam pakej mereka

 

"Kotak-kotak ini juga dilengkapi dengan kod QR yang dihubungkan ke laman web dengan maklumat tentang cara mendapatkan bantuan dan sokongan emosi bagi kesihatan mental," katanya.  -DagangNews.com