Kemungkinan tiada kenaikan OPR November ini ekoran kebimbangan terhadap ekonomi global, jangka penganalisis | DagangNews Skip to main content

Kemungkinan tiada kenaikan OPR November ini ekoran kebimbangan terhadap ekonomi global, jangka penganalisis

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Sept - Kadar inflasi dijangka kembali perlahan pada bulan-bulan berikutnya setelah memuncak pada Ogos atau September dengan diunjur mencapai sekitar 4% menjelang akhir tahun ini. 

 

Penganalisis CGS-CIMB Research, Nazmi Idrus menjangkakan kadar inflasi akan terus menurun kepada 3% pada akhir 2023 memandangkan kesan asas yang rendah daripada kenaikan harga komoditi pada separuh kedua 2021 semakin berkurangan. 

 

Selain itu, katanya, kenaikan harga komoditi global juga diunjur semakin mereda pada separuh kedua 2022. 

 

"Setakat ini, kebanyakan indeks komoditi utama memuncak pada suku pertama 2022, selain daripada gas asli di tengah-tengah perkembangan geopolitik di Eropah. 

 

"Akibatnya, tekanan harga ke atas barangan utama, seperti ayam, telur dan minyak masak akan berkurangan apabila kos input menurun.

 

"Namun, apa yang membimbangkan kini inflasi daripada barangan import ekoran kelemahan ringgit yang akan menyebabkan kos barang lebih tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

gambar hiasan

 

 

Baca : Kadar inflasi Ogos 2022 di Malaysia kini 4.7%

 

Baca : Kelemahan ringgit lonjak inflasi makanan - MIDF Research

 

Kadar inflasi Malaysia pada Ogos meningkat kepada 4.7% berbanding 4.4% pada Julai, berikutan fenomena global yang turut dialami oleh kebanyakan negara disebabkan kenaikan input pengeluaran dan harga bahan api.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pada bulan lalu, kumpulan makanan & minuman bukan alkohol meningkat sebanyak 7.2%.

 

Kenaikan itu didorong oleh komponen makanan di luar rumah yang meningkat sebanyak 8.4% manakala makanan di rumah meningkat sebanyak 6.4%.

 

Menurut Nazmi, ringgit susut 5.8% tahun ke tahun berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Ogos 2022, kemungkinan akan meningkatkan kos bagi pengeluar yang mengimport dalam mata wang utama itu. 

 

Pengeluar bagaimanapun, katanya, dijangka menyerap kenaikan harga yang sederhana itu dalam tempoh jangka pendek.

 

Secara keseluruhan, beliau mengekalkan unjuran Indeks Harga Pengguna (IHP) tahun ini pada 3.1% manakala 3.2% pada 2023. 

 

"Dari segi dasar monetari pula, di sebalik kenaikan inflasi teras, kami menjangkakan langkah normalisasi kadar oleh Bank Negara Malaysia (BNM) akan dihentikan seketika pada mesyuaratnya November ini berikutan kebimbangan prospek ekonomi global. 

 

"Tetapi, kami menjangkakan akan berlaku dua kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) dengan setiap kenaikan 25 mata asas pada separuh pertama 2023," jelasnya.

 

 

gambar hiasan

 

 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research buat masa ini turut menjangkakan BNM akan mengekalkan OPR pada 2.5% sehingga akhir tahun ini. 

 

"Kami menjangkakan inflasi utama akan kekal melebihi 4% pada September berikutan inflasi makanan yang masih tinggi dan kesan asas yang rendah daripada harga elektrik.

 

"Inflasi utama dijangka semakin berkurangan pada suku keempat 2022 apabila kesan asas rendah berkurangan," katanya.

 

Sebaliknya, Kenanga Research berpendapat, BNM kemungkinan akan menaikkan lagi OPR sebanyak 25 mata asas pada mesyuaratnya November ini.

 

"Kenaikan ini bagi menyelaraskan kedudukan monetarinya dengan trend dasar monetari global dan memperlahankan tekanan inflasi di dalam negara," katanya.

 

Firma itu mengekalkan unjuran inflasi teras pada 3.3% tahun ini berikutan faktor luaran yang kurang menggalakkan.

 

Jelasnya, kenaikan inflasi yang diimport disebabkan kekuatan dolar AS secara berterusan, ditambah dengan kejutan bekalan yang negatif negatif akibat ketegangan geopolitik semakin sengit antara Rusia dan Ukraine mungkin terus memberi tekanan ke atas harga dan menjejaskan perbelanjaan isi rumah.

 

"Bagaimanapun, menambah baik kekangan rantaian bekalan disebabkan permintaan pengguna global yang perlahan dalam keadaan kewangan yang lebih ketat boleh membantu mengehadkan inflasi pada suku keempat dan 2023.

 

"Di dalam negara, langkah awal BNM untuk mengekang inflasi yang didorong permintaan dan subsidi kerajaan mungkin terus mengekalkan harga pengguna di bawah kawalan," jelasnya. - DagangNews.com