KUALA LUMPUR 10 Mac - Kenaikan harga bahan dan kos lain dalam menjalankan perniagaan, akan menyaksikan syarikat automotif berdepan tekanan margin yang kemungkinan akan meningkatkan harga kenderaan, menurut AmInvestment Bank Research.
Penganalisisnya, Muhammad Afif Zulkaplly berkata, sekiranya trend itu berterusan, syarikat pengeluar terpaksa menanggung kos tambahan sepanjang rantaian bekalan, menjejaskan pengedar, pembekal alat ganti, pengedar dan pengguna akhir sekali gus mengubah keseluruhan dinamik rantaian nilai sektor automotif.
"Ini boleh menimbulkan risiko penurunan kepada margin syarikat automotif dan berpotensi meningkatkan harga kereta, yang dilihat boleh menjejaskan permintaan.
"Pada masa sama, kadar tukaran mata wang yang tidak menguntungkan disebabkan kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan yen juga menyebabkan tekanan margin kepada syarikat automotif terutamanya UMW Holdings Bhd., Tan Chong Motor Holdings Bhd. dan Bermaz Auto Bhd.," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagaimanapun, secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor automotif bagi tahun ini.
Ini memandangkan kebanyakan syarikat dalam sektor tersebut bergantung kepada permintaan domestik, menjadikan pendapatannya secara relatif terlindung daripada kesan konflik geopolitik.
Muhammad Afif berkata, jualan industri dijangka pulih pada 2022 apabila rantaian bekalan kembali normal dan keyakinan pengguna beransur pulih, disokong peningkatan aktiviti ekonomi yang lebih luas.
"Anggaran jumlah keseluruhan industri (TIV) kami bagi tahun ini adalah 555,000 unit yang mencerminkan pertumbuhan 9% tahun ke tahun.
"Sebarang lanjutan bagi pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan menjadi pemangkin kepada unjuran TIV dan pendapatan," jelasnya.
Beliau menjangkakan hasil dan pendapatan bagi sektor tersebut masing-masing akan berkembang 6% dan 38% tahun ini sejajar dengan peningkatan perbelanjaan pengguna dan pemulihan ekonomi.
Jelasnya, unjuran pendapatan yang lebih kukuh itu dibuat memandangkan margin yang berkembang, dengan mengandaikan peningkatan dalam leveraj operasi sektor tersebut tanpa gangguan pengeluaran yang disebabkan pelaksanaan sekatan pergerakan pada masa akan datang.
"Anggaran agregat pendapatan bagi saham syarikat di bawah liputan kami adalah sebanyak RM2.13 bilion, yang menunjukkan sektor ini akan kembali pulih ke tahap sebelum pandemik pada 2022 (berbanding 2019, RM1.07 bilion, 2020 : RM1.54 bilion)," katanya.
Saham Bermaz Auto dan UMW Holdings menjadi pilihan utamanya bagi sektor tersebut dengan saranan 'beli' pada nilai wajar (FV) masing-masing pada RM2 dan RM4. Firma itu juga meletakkan saranan 'beli' terhadap MBM Resources Bhd. dengan FV RM4.55.
Meninjau prestasi syarikat automotif di bawah liputan AmInvestment bagi 2021, ia mencatatkan pertumbuhan 6% dipacu pengecualian SST sepanjang tahun dan pembukaan ekonomi secara meluas terutama pada suku keempat.
UMW Holding mencatat peningkatan jualan paling tinggi sebanyak 16% berikutan rantaian bekalannya yang kukuh dalam mengharungi tempoh pandemik.
Pendapatan bersih teras sektor itu meningkat 29% berikutan hasil yang lebih kukuh manakala leveraj operasi juga adalah lebih baik kerana syarikat kini lebih berhemat dalam menguruskan isu berkaitan wabak.
Elaun cukai pelaburan sebanyak RM90 juta dan RM140 juta yang diiktiraf oleh Perodua dan UMW Toyota masing-masing pada suku keempat 2021 (memanfaatkan UMW Holdings dan MBM Resources) turut menyumbang kepada lonjakan pendapatan bagi tempoh berkenaan. - DagangNews.com