Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Jan. - Setelah mengambil kira kenaikan harga saham FGV Holdings Berhad (FGV) yang mungkin terhad, adalah wajar untuk para pemegang saham menerima sahaja tawaran pengambilalihan oleh Felda pada kadar RM1.30 sesaham.
Nasihat bertentangan yang diberikan mengenai tawaran harga saham itu mungkin berpunca daripada jangkaan yang berbeza ke atas prestasi nilai saham FGV setelah tempoh tawaran berakhir.
CGS-CIMB Research tidak menolak kemungkinan bahawa pengarah tidak berkepentingan FGV menjangkakan harga saham akan meningkat dengan harga minyak sawit mentah (MSM) serta profil umur ladang bertambah baik.
“Kami setuju bahawa ini (nasihat bertentangan) mungkin terjadi sekiranya masalah yang terlalu banyak berkaitan dengan penamatan perjanjian sewa tanah (LLA) telah diselesaikan. Namun, jika masalah ini tidak ditangani, pelabur mungkin akan terus menetapkan harga saham tersebut dengan potongan harga kepada jumlah bahagiannya.
“Sebelum ini, harga saham FGV didorong oleh laporan media mengenai kemungkinan tawaran pengambilalihan oleh Tan Sri Syed Mokhtar, yang mencetuskan jangkaan bahawa saham dapat dinilai semula menghampiri dengan nilai saksama pada masa itu.
“Walau bagaimanapun, berikutan perkembangan terkini dan kepentingan Felda lebih daripada 50% dalam FGV, kami percaya bahawa tawaran harga bersaing untuk FGV tidak mungkin berlaku,” jelas CGS-CIMB dalam nota kajiannya.
Harga yang ditawarkan Felda kepada FGV dalam cadangan pengambilalihan pada RM1.30 sesaham disifatkan tidak adil dan berada di bawah nilai saksama oleh RHB Investment Bank (RHB IB).
Baca : Tawaran harga saham tidak dipersetujui FGV
Bank itu dilantik oleh FGV sebagai penasihat bebas untuk tawaran berkenaan.
RHB IB berpendapat bahawa tawaran itu ‘tidak adil tetapi wajar’ berdasarkan penilaiannya dan mengesyorkan pemegang saham untuk menerima tawaran tersebut.
Namun, pengarah-pengarah FGV tidak berkepentingan terdiri daripada Datuk Yusli Mohamed Yusoff, Datuk Mohd Anwar Yahya, Datin Hoi Lai Ping, Dr Mohamed Nazeeb P. Alithambi dan Dr. Nesadurai Kalanithi, mengesyorkan kepada para pemegang untuk menolak tawaran Felda.
Saranan mereka dibuat setelah meneliti syarat dan ketentuan tawaran serta rasional untuk tawaran dan rancangan masa depan bagi kumpulan FGV selain petugasnya seperti yang dinyatakan dalam Dokumen Tawaran.
“Oleh itu, kami lebih mengesyorkan untuk menerima tawaran tersebut selepas mempertimbangkan kenaikan terhad pada tahap harga semasa dan risiko.
“Kami kekalkan saranan ‘pegang’ saham FGV dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM1.30 (berdasarkan harga tawaran pengambilalihan),” tambah CGS-CIMB.
Setakat 11.51 pagi, harga saham FGV kekal pada RM1.30.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Felda membeli lagi saham FGV sebanyak 2,959,100 pada kadar RM1.30 sesaham dari pasaran terbuka.
Baca : Felda skor ‘hat trick’ minggu ini
Ini melibatkan urus niaga bernilai RM3.85 juta. - DagangNews.com