Kenaikan kadar faedah AS jejaskan permintaan produk Homeritz, HLIB semak turun penarafan kepada 'pegang' | DagangNews Skip to main content

Kenaikan kadar faedah AS jejaskan permintaan produk Homeritz, HLIB semak turun penarafan kepada 'pegang'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 31 Okt - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak turun penarafan Homeritz Corp. Bhd. kepada 'pegang' berbanding 'beli' dengan harga sasaran lebih rendah pada 53 sen daripada 69 sen sesaham sebelum ini. 

 

Dengan mengambil kira permintaan yang tidak menentu, firma itu mengurangkan unjuran hasil kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2023 (FY23) dan FY24 masing-masing sebanyak 15% dan 15.1%.

 

Ini berikutan kenaikan kadar faedah yang agresif di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah menjejaskan jualan rumah dan juga permintaan perabot.

 

"Di sebalik keputusan suku keempat berakhir 31 Ogos 2022 yang cemerlang, kami berpendapat ketidaktentuan permintaan ditambah dengan permintaan perumahan yang semakin perlahan apabila kadar faedah terus meningkat menyebabkan keterlihatan pendapatan kumpulan semakin kabur," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Keuntungan Homeritz meningkat mendadak pada suku keempat berbanding tahun sebelumnya disebabkan terutamanya oleh peningkatan dalam hasil yang membolehkan kumpulan itu mencapai skala ekonomi lebih baik.

 

Ia merekodkan untung bersih sebanyak RM10.96 juta, meningkat 44 kali ganda daripada RM250,000 pada tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan meningkat lapan kali ganda kepada RM51.14 juta daripada RM6.31 juta berikutan pengukuhan dolar AS dan jualan produk perabot yang lebih tinggi.

 

Menurut HLIB, prestasi Homeritz bagi FY22 sebahagian besarnya disebabkan oleh lebih banyak hari beroperasi berikutan pelonggaran sekatan serta dolar AS yang lebih kukuh.

 

Namun, firma itu bimbang dengan prestasi kumpulan akan datang kerana permintaan pengguna untuk perabot semakin perlahan di tengah-tengah persekitaran inflasi yang meningkat.

 

"Bagaimanapun, kumpulan akan mendapat manfaat daripada kekuatan berterusan dolar AS (kerana Rizab Persekutuan AS terus menaikkan kadar) memandangkan lebih 90% daripada hasil kumpulan adalah dalam dolar AS manakala kos terutamanya dalam ringgit, boleh mengimbangi sebahagian penurunan dalam permintaan perabot," jelasnya.

 

Setakat 11.14 pagi ini, harga sahamnya susut 0.5 sen atau 0.93% kepada 53 sen dengan 663,700 saham diniagakan. - DagangNews.com