KUALA LUMPUR 31 Okt - Ringgit buat pertama kali mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh sembilan minggu ekoran kejatuhan indeks dolar AS (DXY) di tengah-tengah angka keyakinan pengguna di negara itu yang lemah dan harga rumah lebih rendah.
Kenanga Research berkata, DXY juga diheret turun lebih rendah oleh lantunan semula dalam pound berikutan pelantikan Rishi Sunak sebagai perdana menteri United Kingdom (UK).
Namun begitu, jelasnya, mata wang tempatan terus tertekan oleh kelemahan yuan dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS pada suku ketiga yang lebih baik daripada jangkaan.
"Di sebalik jangkaan kenaikan kadar 75 mata asas (bps) Bank of England, penerusan kenaikan kadar faedah bersaiz besar oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) dan dasar monetari Bank of Japan yang longgar mungkin meningkatkan DXY untuk pulih sekitar paras 112.0, dan melemahkan ringgit.
"Selain itu, DXY juga mungkin menunjukkan aliran lebih tinggi jika angka makro zon euro menjadi lebih teruk daripada yang dijangkakan dan jika yuan melemah melebihi ambang 7.30 berbanding dolar AS," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagaimanapun, firma itu menjangkakan ringgit akan kekal berlegar sekitar RM4.73 hingga RM4.75 berbanding dolar AS.
Ini disebabkan jangkaan kenaikan 25 bps kadar dasar semalaman (OPR) oleh BNM dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari pada 2 hingga 3 November ini.
"Dari sudut teknikal, dolar AS mungkin menebus semula beberapa kerugiannya sekira sentimen pasaran bertukar lebih lemah," jelasnya.
Dalam dagangan pagi ini, nilai ringgit dibuka rendah sedikit untuk hari dagangan ketiga berturut-turut berbanding dolar AS terutamanya menjelang keputusan Fed mengenai kadar faedah minggu ini.
Setakat 9.00 pagi, ringgit susut kepada RM4.7260/7310 berbanding dolar AS, lebih rendah daripada penutupan Jumaat, RM4.7225/7275.
Pasaran tempatan pula meningkat 6.1 mata untuk dibuka kepada 1,453.41 mata pagi ini berbanding penutupan Jumaat, 1,447.31 mata menjejaki kenaikan semalaman Wall Street, menjelangnya mesyuarat November Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS dan BNM.
Sementara itu, Kenanga Research berkata, hasil domestik mungkin meningkat minggu ini kerana Fed (1–2 Nov) dan BNM (2–3 Nov) dijangka menaikkan kadar masing-masing sebanyak 75 bps dan 25 bps.
"Bagaimanapun, jangkakan hasil akan terus menurun sekiranya BNM terkejut apabila kenaikan kadar dihentikan atau Fed menunjukkan dovish yang ketara," katanya.
Menurutnya, pasaran hutang tempatan berkemungkinan mencatatkan satu lagi aliran keluar dana asing bersih pada Oktober, di tengah-tengah peningkatan penghindaran risiko global dan ketidaktentuan politik.
"Aliran keluar asing mungkin berterusan sehingga resolusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 November ini tetapi beberapa tekanan juga boleh dikurangkan sekiranya Fed memberi isyarat pengetatan dasar yang kurang agresif pada mesyuaratnya akan datang," jelasnya. - DagangNews.com