Kenanga Research berhati-hati terhadap prospek Kossan, jangka industri sarung tangan terus bergelut dengan isu lebihan bekalan | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research berhati-hati terhadap prospek Kossan, jangka industri sarung tangan terus bergelut dengan isu lebihan bekalan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Kenanga Research kekal berhati-hati terhadap prospek Kossan Rubber Industries Bhd dengan menjangkakan industri sarung tangan terus bergelut dengan isu lebihan bekalan.

 

Katanya, keadaan itu akan diburukkan lagi dengan purata harga jualan (ASP) yang rendah dan kos input yang tinggi sepanjang tahun ini. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan anggaran, situasi permintaan bekalan hanya akan mula seimbang pada 2026 apabila hampir tiada lagi kapasiti baharu yang akan datang sementara permintaan global bagi sarung tangan terus meningkat sebanyak 15% setahun disokong peningkatan kebersihan.

 

"Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) mengunjurkan pertumbuhan 12% hingga 15% dalam permintaan global untuk sarung tangan getah setiap tahun daripada 2023, berikutan anggaran penguncupan 25% kepada 300 bilion keping pada tahun itu.

 

"Kami mengunjurkan permintaan untuk sarung tangan meningkat sebanyak 30% pada 2024 kepada 390 bilion (disebabkan oleh kesan asas yang rendah dalam 2023) dan meneruskan pertumbuhan organiknya sebanyak 15% selepas itu.

 

"Ini akan menghasilkan lebihan kapasiti sebanyak 212 bilion keping pada 2024. Lebihan kapasiti masih berterusan yang bermakna harga rendah dan penggunaan loji yang tertekan akan terus membelenggu industri pada 2024," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kossan keluar daripada kerugian, raih RM31.34 juta pada 2QFY24 didorong jualan tinggi

 

Terdahulu,pendapatan suku tahun berakhir 30 Jun itu pula berjumlah RM429.91 juta, meningkat 10.93% berbanding RM387.54 juta pada 2Q23.

 

Katanya, untuk suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2024, Kumpulan mencatatkan peningkatan hasil untuk semua bahagian dengan pendapatan bahagian sarung tangan meningkat 11.76% kepada RM352.99 juta pada 2QFY24 berbanding RM315.86 juta pada 2QFY23.

 

Kenanga Research berkata, kumpulan itu dijangka berdepan beberapa risiko termasuk sebahagian pengeluar sarung tangan China akan menghentikan penetapan harga dengan jualan di bawah harga kos bagi menghapuskan pesaing yang membawa kepada pemulihan pendapatan.

 

Katanya, pertumbuhan permintaan yang lebih kukuh daripada jangkaan untuk sarung tangan didorong oleh peningkatan standard kebersihan dan kesedaran kesihatan di peringkat global, penyatuan industri mengurangkan persaingan dalam kalangan pemain, dan kejadian wabak serta pandemik.

 

"Kami mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.56 sesaham," katanya.- DagangNews.com