Kenanga Research jangka harga minyak sawit mentah kekal tinggi | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research jangka harga minyak sawit mentah kekal tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 April - Kenanga Research menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) akan kekal tinggi untuk masa lebih lama berbanding jangkaan awal.

 

Firma penyelidikan sedang membuat penilaian semula terhadap jangkaan MSM daripada RM4,000 hingga RM4,500 untuk satu tan untuk CY22 dan RM3,500 hingga RM4,000 bagi setiap tan pada CY23.

 

"Bagaimanapun, MSM didagangkan lebih rendah berbanding harga tertinggi sebelum ini dan langkah berjaga-jaga adalah perlu.

 

"Kebimbangan terhadap amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan 'buruh paksa' masih segar dalam fikiran pelabur, sektor itu dijangka tidak didagangkan pada harga premium," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Firma penyelidikan itu percaya bahawa ESG adalah perkara penting ketika membuat pelaburan dan mereka percaya minyak sawit masih menjadi pilihan ramai.

 

Katanya, minyak sawit adalah makanan yang paling banyak digunakan dengan 35% pasaran dunia dan 70% minyak sawit digunakan secara terus atau digunakan sebagai bahan masakan seperti minyak masak atau pengganti mentega koko.

 

Menerusi pengeluaran 3.5 juta tan metrik untuk setiap hektar, minyak sawit adalah tanaman minyak yang paling produktif di dunia. 

 

"Minyak sawit yang diperakui sememangnya memenuhi piawaian ESG yang sangat tinggi untuk produk pertanian di peringkat antarabangsa," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor perladanagan dengan beberapa syarikat menjadi pilihan seperti KLK pada harga sasaran (TP) RM30.00 sesaham terutama selepeas pengambilalihan 95% kepentingan ekuiti dalam IJM Plantation dan 60% kepentingan di dalam PT WItmas Pinang Sejati.

 

Bagi syarikat Small Caps, firma itu memilih HSPLANT (TP, RM2.65) kerana memiliki kunci kira-kira yang kukuh yang membolehkannya membayar dividen yang besar pada masa hadapan selain memiliki saham yang patuh Syariah. - DagangNews.com