Kenanga Research jangka inventori minyak sawit meningkat pada April | DagangNews Skip to main content

Kenanga Research jangka inventori minyak sawit meningkat pada April

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 13 April - Kenanga Research menjangkakan inventori minyak sawit mentah akan meningkat 5.5% bulan ke bulan kepada 1.53 juta tan metrik bagi April ini. 

 

Penganalisisnya, Adrian Kok berkata, secara keseluruhan, jumlah bekalan adalah sebanyak 1.71 juta tan metrik, melebihi permintaan 1.63 juta tan metrik. 

 

"Antara faktor yang perlu diberi tumpuan pada bulan akan datang ini termasuklah aktiviti menambah bekalan oleh China dan India dan situasi tenaga buruh ketika musim pengeluaran puncak. 

 

"Selain itu, kita juga perlu melihat kepada dinamik penawaran-permintaan dalam pasaran minyak kacang soya dan mandat biodiesel," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, data Lembaga Minyak Sawit Malaysia menunjukkan stok minyak sawit mentah pada Mac 2021, meningkat 12.37% kepada 742,742 tan daripada 660,987 pada Februari 2021.

 

Ia sekali gus akan memberi kesan kepada harga komoditi itu jika permintaan tidak meningkat.

 

Stok minyak sawit diproses juga menokok 9.02% bulan ke bulan kepada 703,228 tan daripada 645,035 tan.

 

Secara keseluruhan, stok minyak sawit menambah 10.72% kepada 1.45 juta tan daripada 1.31 juta tan bagi tempoh yang sama.

 

Kenanga Research mengunjurkan pengeluaran bagi April 2021 akan meningkat 11.2% kepada 1.58 juta tan metrik berdasarkan kepada jumlah pengeluaran pada Mac. 

 

"Pengeluaran di Sabah dan Sarawak sudah berubah dan kami menjangkakan pertumbuhan di semua wilayah (termasuk Semenanjung) akan berterusan pada April," katanya.

 

Malah, firma itu juga menjangkakan eksport akan meningkat 17.6% kepada 1.39 juta tan metrik pada April didorong oleh penggunaan yang meningkat pada bulan tersebut menjelang musim perayaan Hari Raya Puasa. 

 

Bagi harga minyak sawit mentah pula, Kenanga Researck mengekalkan unjuran pada RM3,000 satu tan metrik tahun ini. - DagangNews.com